24 April 2011

Palsi Serebrum & Masalah Tumpuan (ADHD) / Masalah Tingkahlaku

Kanak-kanak palsi serebrum juga lebih cenderung mengalami masalah tumpuan yang dipanggil Attention Deficit Hyperactive Disorder atau masalah tingkahlaku daripada kanak-kanak lain. Terdapat beberapa jenis masalah tumpuan atau tingkahlaku.

Ada yang kurang daya tumpuan. Mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap sesuatu dalam tempoh masa yang lama. Mereka akan berasa bosan terhadap sesuatu selepas beberapa minit dan akan beralih tumpuan terhadap benda lain. Namun begitu, dia dapat melakukan aktiviti yang disukai seperti bermain permainan kegemaran dalam masa yang lama.

Ada yang terlampau aktif. Mereka tidak dapat duduk diam dan menghabiskan tugas yang diberi. Dia akan bergerak ke sini dan ke sana. Sekiranya seseorang itu tidak berupaya bergerak, dia juga akan menyentuh, mengambil atau bermain dengan apa-apa saja barang di sekeliling yang dapat dicapainya.

Ada yang impulsif. Mereka ini akan melakukan sesuatu, menyatakan sesuatu atau memberi respon tanpa berfikir panjang. Mereka akan menjawab sebelum seseorang habis bertanya. Mereka tidak akan sabar menunggu giliran mereka. Mereka akan berebut dengan orang lain untuk mendapatkan sesuatu barang yang diingini seperti anak patung.

* Nampaknya sudah 13 minggu kami bercerita tentang ketidakupayaan atau masalah-masalah sampingan yang mungkin dialami oleh seseorang individu palsi serebrum. Minggu ini merupakan minggu terakhir kami menceritakan tentangnya. Mulai minggu depan, kami akan menceritakan isu-isu lain seperti rawatan, terapi, sokongan dan pendidikan; alat-alat adaptasi; dan sebagainya. *

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Keunikan Individu Palsi Serebrum pada 1 Mei 2011

17 April 2011

Palsi Serebrum & Masalah Pernafasan

Terdapat banyak keadaan yang dihadapi oleh individu palsi serebrum yang boleh menyebabkan masalah pernafasan. Antaranya, kesukaran menelan, batuk dan epilepsi. Kesukaran untuk menelan makanan dan minuman, tersedak semasa makan dan epilepsi boleh menyebabkan makanan dan minuman yang sedang dimakan atau dalam perut memasuki paru-paru. Hal ini seterusnya akan menyebabkan jangkitan pada paru-paru seperti paru-paru berair yang dikenali pneumonia.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Tumpuan (ADHD) / Masalah Tingkahlaku pada 24 April 2011

10 April 2011

Palsi Serebrum & Masalah Perkumuhan

Individu-individu palsi serebrum terutamanya kanak-kanak juga berkemungkinan mengalami masalah-masalah yang berkaitan dengan proses perkumuhan.

Salah satu masalah yang biasanya dihadapi oleh mereka ialah sembelit. Keadaan fizikal seseorang palsi serebrum menyebabkan mereka sukar bergerak. Mereka terpaksa baring atau duduk pada kebanyakan masa. Kesukaran untuk menelan pula menyebabkan seseorang itu tidak minum air dengan secukupnya. Kesukaran bergerak terutamanya terpaksa baring sepanjang hari dan kekurangan air atau cecair dalam badan ini akan menyebabkan masalah sembelit.

Terdapat juga individu palsi serebrum yang mengalami masalah untuk mengawal pembuangan air kencing. Mereka mungkin akan terkencing dalam seluar sebelum sampai ke tandas. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh masalah saraf yang mengawal pembuangan air kencing di mana air kencing akan terkeluar sedikit demi sedikit.

Mereka mungkin juga akan mengalami masalah mengawal pembuangan air kecil atau besar ketika mengalami epilepsi.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Pernafasan pada 17 April 2011

03 April 2011

Palsi Serebrum & Masalah Sistem Rangka

Palsi serebrum berkait rapat dengan ketegangan otot yang tidak selaras. Ada yang mengalami ketegangan otot yang terlalu tinggi dan ada yang mengalami ketegangan otot yang terlalu rendah. Ada juga yang kadang-kadang mengalami ketegangan otot yang terlalu tinggi dan kadang-kadang mengalami ketegangan otot yang terlalu rendah.

Ketegangan dan juga kekuatan otot yang tidak selaras ini boleh menyebabkan masalah pada sistem rangka seseorang itu. Postur badan individu-individu palsi serebrum yang tidak betul semasa duduk, berdiri, berjalan dan sebagainya juga akan menyebabkan masalah sistem rangka. Hal ini mungkin akan menyebabkan scoliosis di mana tulang belakang mereka akan menjadi bengkok atau pada keadaan yang abnormal selepas suatu tempoh masa, sendi-sendi mereka mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik dan sebagainya.

Pinggul mereka mungkin juga akan lari daripada kedudukannya yang dipanggil (hip dislocation) dalam bahasa Inggeris. Sekiranya tidak dirawat, masalah hip dislocation ini akan mendatangkan kesakitan.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Perkumuhan pada 10 April 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...