29 Mei 2011

Penggunaan Ubat-Ubatan

Selain terapi, sesetengah individu palsi serebrum juga perlu mengambil ubat. Sungguhpun palsi serebrum yang dialami seseorang tidak dapat diubati, namun pengambilan ubat-ubatan dapat mengurangkan sesetengah simtom yang dialaminya.

Terdapat beberapa jenis ubat yang digunakan untuk melegakan sesetengah simtom palsi serebrum khususnya dalam mengurangkan ketegangan otot-otot yang melampau. Diazepam, Baclofen dan Dantrolene merupakan tiga jenis ubat yang biasa digunakan dalam mengurangkan ketegangan otot individu-individu palsi serebrum jenis spastik. Walaupun memainkan fungsi yang sama, ketiga-tiga jenis ubat itu mempunyai cara tindak balas yang berlainan. Selain itu, terdapat juga ubat-ubat yang dapat meransang kawalan pergerakan dan penggunaan otot-otot yang lebih baik.

Botulinum toxin type A atau Botox juga boleh digunakan terhadap individu-individu palsi serebrum. Ia akan disuntik pada otot-otot tertentu yang mengalami ketegangan yang terlampau tinggi. Ia hanya berkesan pada otot yang disuntik saja dan hanya bertahan selama beberapa bulan saja. Apabila ketegangan sesuatu otot dikurangkan, aktiviti terapi terhadapnya dapat dilakukan dengan lebih mudah. Hal ini seterusnya akan merangsang perkembangan fizikal dan pergerakan seseorang. Berdasarkan keberkesanan Botox terhadap sesuatu otot dan juga tempoh keberkesanannya, terapi terhadap otot tersebut haruslah mula dilakukan atau dipergiatkan sebaik sahaja ia disuntik. Botox boleh disuntik lagi selepas suntikan sebelumnya itu hilang keberkesanannya.

Selain itu, individu-individu palsi serebrum yang mengalami epilepsi juga perlu mengambil ubat untuk mengawal epilepsi.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Pembedahan pada 5 Jun 2011

22 Mei 2011

Terapi Pertuturan

Terapi pertuturan merupakan terapi yang fokus kepada masalah pertuturan dan masalah komunikasi verbal serta masalah kesukaran menelan. Masalah pertuturan merujuk kepada masalah-masalah yang menghalang penghasilan suara seseorang dan juga penggabungan suara untuk menghasilkan kata atau frasa yang bermakna dan boleh difahami. Manakala, masalah komunikasi verbal pula merujuk kepada kesukaran untuk memahami percakapan seseorang dan memberi respon kepadanya. Masalah kesukaran menelan merangkumi masalah untuk makan dan minum serta ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar.

Terapi pertuturan dapat membantu mereka pada pelbagai peringkat umur yang mengalami masalah yang berkaitan dengan pertuturan, komunikasi verbal dan kesukaran menelan. Ia termasuklah bayi yang sukar disuap; kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami kesukaran untuk menelan atau makan dan minum; individu-individu yang mengalami masalah pertuturan dan komunikasi akibat daripada perkembangan lewat, kecederaan otak, masalah pendengaran, perkembangan kemahiran komunikasi dan bahasa yang lewat, palsi serebrum dan masalah pembelajaran; orang dewasa yang mengalami strok, kanser pada kepala, leher atau kerongkong, masalah kesihatan mental dan sebagainya.

Terapi pertuturan akan membantu individu-individu palsi serebrum mengawal otot-otot pada mulut, lelangit dan kerongkong dengan lebih baik supaya dapat meningkatkan kemahiran-kemahiran untuk bertutur, berkomunikasi secara verbal dan menelan. Mereka akan diberi pelbagai aktiviti yang dapat merangsang penggunaan, menguatkan dan meningkatkan koordinasi pergerakan otot-otot tesebut seperti mengurut otot-otot tersebut; melakukan pergerakan lidah dan rahang mulut; melakukan aktiviti yang berkaitan dengan pernafasan seperti bernafas panjang, menahan nafas lalu melepasnya perlahan-lahan; meniup dan sebagainya.

Terapi pertuturan akan membantu bayi palsi serebrum untuk menghisap susu atau air dan menelannya. Seterusnya, ia akan membantu bayi, kanak-kanak dan mungkin juga individu palsi serebrum yang telah besar mempelajari kemahiran-kemahiran meminum dengan menggunakan penyedut; meminum dari cawan atau gelas; menggigit, mengunyah dan menelan pelbagai jenis makanan dari tekstur lembut hingga keras seperti bubur, nasi, biskut, buah-buahan dan sebagainya. Terapi ini juga akan membantu mereka untuk menelan air liur atau memastikan air liur tidak dileleh keluar daripada mulut.


Dalam terapi pertuturan, individu-individu palsi serebrum akan mempelajari kemahiran-kemahiran untuk bertutur. Dalam proses mempelajari kemahiran bertutur, mereka akan diajar untuk membunyikan bunyi sesuatu binatang, kenderaan atau benda-benda lain seperti bunyi ayam, enjin kereta, keretapi, bunyi hon, jam, loceng dan sebagainya. Mereka akan diajar menamakan huruf-huruf; membunyikan sesuatu huruf seperti aaa..., sss.... dan kr....; dan menyebut sesuatu sukukata, perkataan, frasa dan kemudiannya ayat. Bagi mereka yang kecil, mereka biasanya akan diajar melalui permainan simbolik. Bagi mereka yang lebih besar pula, mereka akan diajar melalui pembacaan. Mereka akan belajar pergerakan mulut yang diperlukan untuk menyebut sesuatu dengan meneliti pergerakan mulut jurupulih ketika menyebut sesuatu dan adakalanya merasai pergerakan kerongkong jurupulih atau angin yang dikeluarkannya semasa menyebut sesuatu. Kemudiannya, mereka akan cuba menyebutnya. Mereka akan terus belajar dan berlatih sehingga dapat menyebut dengan sejelas yang mungkin secara konsisten.


Dalam masa yang sama, mereka juga akan belajar berkomunikasi secara verbal dengan orang lain. Mereka akan dibimbing untuk menceritakan apa yang sedang berlaku dalam permainan simbolik atau apa yang kelihatan dalam sesuatu gambar yang diberi, menceritakan sesuatu yang berkaitan dengan diri mereka dan menjawab soalan-soalan yang ditanya jurupulih. Mereka terutamanya yang mengalami sedikit masalah pendengaran akan dibimbing untuk mengasah kemahiran-kemahiran mendengar yang penting untuk berkomunikasi. Bagi mereka yang tidak berupaya untuk bercakap atau berkomunikasi secara verbal, mereka akan diajar berkomunikasi melalui cara-cara lain khususnya melalui penggunaan makaton atau carta komunikasi. Mereka mungkin juga akan dibimbing untuk menulis atau menaip sesuatu perkataan, frasa, ayat atau perengan.



Secara tidak langsung, terapi pertuturan juga akan membantu perkembangan bahasa seseorang. Mereka akan mempelajari perkataan-perkataan baru dan pembentukan frasa, ayat serta perengan.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Penggunaan Ubat-Ubatan pada 29 Mei 2011

15 Mei 2011

Terapi Cara Kerja

Terapi cara kerja tertumpu kepada kemahiran-kemahiran motor halus seseorang. Motor halus berfokus kepada otot-otot kecil kita seperti yang terdapat pada muka, tapak tangan, tapak kaki dan jari. Antara kemahiran atau aktiviti yang melibatkan motor halus adalah seperti menggengam sesuatu dengan tangan dan melepaskannya, mengambil dan memanipulasikan sesuatu dengan tangan atau jari, menyuapkan makanan, membersihkan diri termasuk memberus gigi, mencuci muka, mandi dan memotong kuku, menyalin pakaian, menulis, membuat kraftangan dan melakukan aktiviti-aktiviti harian yang lain.

Terapi cara kerja penting untuk membimbing seseorang kurang upaya mempelajari cara-cara melakukan aktiviti-aktiviti harian khususnya menguruskan dirinya. Ia juga penting bagi seseorang upaya yang hilang keupayaannya akibat penyakit atau kemalangan untuk mempelajari semula kemahiran-kemahiran menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Ia akan membantu seseorang kurang upaya sama ada yang mengalami masalah pergerakan tangan, masalah sensori khususnya masalah penglihatan dan masalah yang berkaitan dengan deria sentuhan dan masalah kognitif untuk mempelajari pelbagai aspek kehidupan supaya mereka dapat hidup berdikari.

Seperti fisioterapi, terapi cara kerja juga harus dimulakan sejak individu-individu palsi serebrum masih kecil lagi. Melalui terapi cara kerja, mereka terutamanya kanak-kanak kecil akan dibimbing dan dilatih untuk menghulurkan kedua-dua tangan ke hadapan, mencapai sesuatu, mengenggam dan melepaskannya, dan mengambil atau memanipulasikan sesuatu dengan jari. Terapi ini juga menekankan aspek koordinasi mata dengan tangan yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kehidupan. Mereka biasanya akan digalakkan dan dilatih melakukan aktiviti-aktiviti ini dengan mengunakan alat permainan. Kemahiran-kemahiran yang dipelajari ini akan membolehkan mereka bermain dengan pelbagai alat permainan, yang seterusnya dapat membantu perkembangan otak mereka.


Seterusnya kanak-kanak palsi serebrum akan dibimbing dan dilatih akan cara-cara melakukan aktiviti-aktiviti harian termasuk memberus gigi; membasuh muka; membasuh tangan; mandi; memakai baju, seluar, stoking dan kasut dan sebaliknya; membutang dan menzip; menyikat rambut; menyuap sendiri makanan dan minuman; dan sebagainya.


Terapi ini juga akan membantu mereka dalam aspek pembelajaran. Mereka akan dibimbing dan dilatih menulis, mewarna dan membuat kraftangan yang melibatkan pelbagai proses termasuk menggunting dan melekat dengan gam. Aktiviti-aktiviti yang diajar adalah berdasarkan perkembangan semasa seseorang. Selain itu, mereka akan diajar melakukan sesuatu aktiviti kehidupan dengan menggunakan cara mudah dan bersesuaian dengan keupayaan masing-masing. Contohnya, seseorang yang tidak berupaya memegang pensel akan diajar menaip.


Aktiviti-aktiviti kehidupan lain yang lebih rumit seperti menyapu lantai, mengelap, membasuh pingan mangkuk, melipat pakaian dan sebagainya mungkin juga akan diajar berdasarkan keupayaan seseorang. Dengan latihan melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan dan mungkin juga aktiviti-aktiviti lain, masalah yang berkaitan dengan deria sentuhan seperti terlalu sensitif terhadap sentuhan juga akan ditangani. Selain itu, aktiviti-aktiviti lain atau permainan juga diberi seperti memory game yang dapat membantu perkembangan kognitif seseorang termasuk kemahiran mengingat. Secara tidak langsung, mereka akan mempelajari kemahiran sosial apabila bermain dengan jurupulih atau rakan-rakan lain.

Di samping itu, jurupulih terapi cara kerja akan bekerjasama dengan jurupulih fisioterapi untuk menentukan kerusi atau kerusi roda yang sesuai bagi seseorang individu palsi serebrum. Jurupulih terapi cara kerja juga akan mencari dan memperkenalkan alat-alat adaptasi atau khas yang akan membolehkan atau memudahkan seseorang individu palsi serebrum menjalankan kehidupan harian. Ia termasuklah kerusi mandi, sudu dengan pemegangnya yang besar, cawan yang mempunyai pemegang khas atau yang berbentuk khas untuk membolehkan seseorang minum dengan mudah, pengubahsuaian butang atau zip pakaian dan sebagainya.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Terapi Pertuturan pada 22 Mei 2011

08 Mei 2011

Fisioterapi

Fisioterapi merupakan terapi yang tertumpu pada kemahiran-kemahiran motor kasar seseorang. Motor kasar berfokus kepada otot-otot besar kita seperti yang terdapat pada kaki, lengan dan abdomen. Antara kemahiran atau aktiviti yang melibatkan motor kasar adalah seperti berguling, duduk, merangkak, berdiri, berjalan, berlari, menaiki dan menuruni tangga, melompat, menendang, membaling, mengangkat barang, menunduk atau membongkokkan badan dan sebagainya.

Fisioterapi penting untuk membantu kanak-kanak kurang upaya fizikal dalam mempelajari kemahiran-kemahiran motor kasar. Ia juga penting bagi seseorang normal yang menjadi kurang upaya akibat daripada kemalangan atau penyakit untuk mempelajari semula kemahiran-kemahiran motor kasar. Fisioterapi mengunakan latihan senaman yang tertentu untuk membantu seseorang mempelajari kemahiran-kemahiran tersebut dan latihan-latihan senaman itu dilakukan secara berterusan.

Fisioterapi haruslah dimulakan seawal yang mungkin iaitu semasa kanak-kanak palsi serebrum masih kecil lagi atau sebaik saja mereka didapati mengalami perkembangan fizikal yang lewat atau didianogsiskan. Dengan fisioterapi, kanak-kanak palsi serebrum akan mempelajari kemahiran-kemahiran motor kasar, cara-cara yang lebih baik untuk bergerak dan meningkatkan kestabilan atau keseimbangan badan. Dengan berdasarkan keadaan fizikal seseorang individu pada sesuatu masa itu, jurupulih fisioterapi akan membimbing mereka berlatih berguling, duduk, mengangkat dan mengawal pergerakan kepala, merangkak, cara-cara menggunakan kerusi roda, berjalan dengan menggunakan alat bantuan tertentu seperti rollator, walking frame dan tongkat, berjalan sendiri atau menaiki dan menuruni tangga.



Bagi kanak-kanak yang masih tidak berupaya belajar berjalan atau tidak berpotensi untuk berjalan akan dibimbing dan dilatih cara-cara menggunakan kerusi roda termasuk memasang atau mengunci dan membuka brek dan menolak kerusi roda serta mengubah arah pergerakan kerusi roda yang mereka sedang duduk atasnya. Mereka sentiasa akan dibimbing untuk mempelajari cara-cara pergerakan yang lebih baik dengan berdasarkan keupayaan masing-masing untuk terus maju. Contohnya, pada permulaan seseorang itu mungkin akan belajar berjalan dengan bantuan rollator, kemudiannya mungkin menggunakan walking frame atau tongkat dan akhirnya berjalan sendiri.


Kemahiran-kemahiran tersebut bukannya dapat dipelajari atau dikuasai dalam masa beberapa hari atau minggu saja. Mereka memerlukan masa beberapa bulan malah bertahun-tahun lamanya untuk menguasai sesuatu kemahiran. Ada yang tidak dapat menunjukkan sebarang kemajuan atau hanya menunjukkan sedikit kemajuan walaupun telah dilatih beberapa tahun lamanya. Ada juga yang pada mulanya telah berjaya menunjukkan kemajuan dalam kemahiran tertentu tetapi menunjukkan kemerosotan selepas itu. Begitu juga dengan kemahiran-kemahiran lain yang dipelajari dalam sesi terapi cara kerja dan terapi pertuturan. Hal ini mungkin kerana mereka tidak mengikuti sesi terapi secara konsisten.

Dalam fisioterapi, mereka juga mungkin akan dibimbing untuk mempelajari aktiviti-aktiviti tertentu seperti berlari, menendang, membaling dan menyambut bola serta mengayuh basikal. Fisioterapi juga penting untuk membimbing mereka supaya duduk, berdiri, berjalan dan sebagainya dalam postur yang betul. Hal ini penting untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko individu palsi serebrum mengalami masalah pada sistem rangka seperti scoliosis, hip dislocation dan sebagainya. Latihan-latihan senaman terhadap otot-otot yang kurang digunakan akibat daripada pergerakan yang terhad juga penting untuk mengelakkan otot-otot tersebut menjadi lemah dan mengurangkan masalah pada sistem rangka.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Terapi Cara Kerja pada 15 Mei 201

01 Mei 2011

Keunikan Individu Palsi Serebrum

Setiap individu yang mengalami palsi serebrum adalah unik. Keadaan fizikal seseorang individu palsi serebrum adalah berbeza dengan individu palsi serebrum yang lain. Tiada dua individu palsi serebrum yang mengalami ciri-ciri dan tahap ketidakupayaan yang sama. Tahap ketidakupayaan seseorang individu itu boleh dikategorikan dari sangat minima hingga sangat teruk.

Dari segi pergerakan, ada yang mengalami pergerakan yang sangat terhad termasuk tidak berkeupayaan berubah posisi dari baring kapada duduk tanpa bantuan. Mereka memerlukan sokongan fizikal untuk duduk. Ada yang langsung tidak berkeupayaan untuk berjalan dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Bagi mereka yang berkerusi roda, ada yang boleh menolak kerusi roda sendiri, ada yang memerlukan bantuan untuk menolak di tempat-tempat tertentu sahaja dan ada yang memerlukan sepenuh bantuan untuk menolaknya. Individu-individu palsi serebrum yang lain mungkin memerlukan bantuan seseorang, rollator, walker atau tongkat untuk berjalan. Selain itu, ada yang boleh berjalan sendiri tetapi kurang stabil, ada yang boleh berjalan agak baik, malah ada yang berupaya berlari juga walaupun kelihatan tempang sedikit.

Dari segi melakukan aktiviti-aktiviti harian, ada yang bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk melakukan segala aktiviti harian termasuklah ke tandas untuk memenuhi keperluan membuang air kecil dan juga besar; membersihkan diri seperti memberus gigi, membasuh muka dan mandi; memakai pakaian dan sebaliknya; dan menyuap makanan dan minuman. Ada yang berupaya melakukan sesetengah aktiviti harian sama ada dengan bantuan alat-alat adaptasi seperti pingan dan sudu yang diubahsuai, atau tidak. Ada yang berkeupayaan melakukan kebanyakan aktiviti harian dengan sendiri tetapi memerlukan masa yang lebih panjang untuk melakukannya. Ada yang berkeupayaan melakukan hampir semua atau semua aktiviti harian sendiri tanpa sebarang masalah khususnya mereka yang mengalami palsi serebrum jenis spastik diplegia.

Ada yang berkeupayaan menulis dan ada yang berasa sangat sukar atau langsung tidak mampu untuk menulis. Bagi mereka yang berkeupayaan untuk menulis, kebolehan dan kepantasan mereka menulis adalah berbeza antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, mereka khususnya yang tidak boleh menulis atau mengalami kesukaran untuk menulis boleh diajar menaip dengan menggunakan komputer.

Dari segi pertuturan, ada yang langsung tidak mengalami sebarang masalah pertuturan dan berkeupayaan bercakap seperti orang lain. Ada yang berkeupayaan bercakap tetapi kurang jelas dan tahap kejelasan kata-kata yang ditutur oleh seseorang itu juga berbeza antara satu sama lain. Ada yang langsung tidak berkeupayaan untuk bercakap. Mereka itu mungkin berkebolehan untuk berkomunikasi dengan menggunakan makaton atau carta komunikasi. Ada yang mempunyai komunikasi yang sangat terhad.

Dari segi perkembangan mental dan juga akademik, banyak yang mempunyai perkembangan mental normal atau mengalami sedikit kelewatan sahaja. Ada juga yang mempunyai tahap perkembangan mental yang jauh lebih rendah berbanding dengan umur mereka. Mereka ini mungkin masih berfikiran seperti kanak-kanak walaupun diri mereka itu telah dewasa. Ada yang berkeupayaan untuk belajar, malah ada yang berkeupayaan untuk berjaya dalam pelajaran seperti orang lain. Ada yang memerlukan lebih masa untuk mempelajari sesuatu dan mereka ini memerlukan pendidikan khas.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Fisioterapi pada 8 Mei 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...