26 Februari 2012

Perkahwinan

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh OKU termasuk individu palsi serebrum dalam mencari kebahagiaan hidup berpasangan. Bagaimanapun, jodoh seseorang berada dalam tangan Tuhan. Tiada sesiapa pun yang tahu apa yang akan terjadi akhirnya. Dengan adanya keizinan Tuhan dan ketabahan suatu pasangan menghadapi segala cabaran tersebut, pasti mereka boleh bersama juga walau apa jua sekali pun.

Mari klip di sini untuk menyaksikan perkahwinan antara seorang lelaki yang upaya, József Bratkó dengan seorang perempuan Ágota Földesi yang mengalami palsi serebrum.

Klip di sini pula untuk menyaksikan hari perkahwinan antara Frank dan Harriet. Kedua-dua mereka mengalami palsi serebrum tahap yang agak teruk. Mereka telah lama berkahwin iaitu lebih dua puluh tahun yang lalu.

*maaf ya kerana video tersebut gagal diuploadkan terus di sini... jadi anda klip saja pautan tersebut...

19 Februari 2012

Percintaan

Sungguhpun mengalami ketidakupayaan, OKU termasuk individu palsi serebrum juga mempunyai perasaan cinta terhadap seseorang lelaki atau perempuan, seperti orang lain juga. Kebanyakan kami tidak mahu hidup keseorangan sepanjang masa. Kami ingin mengalami alam pencintaan yang biasanya mendatangkan kegembiraan dan kebahagiaan kepada kedua-dua orang lelaki dan perempuan sungguhpun adakalanya ia mengundang kesedihan dan kesengsaraan kepada salah satu atau kedua-dua pihak. Kami ingin diri kami dikasihi dan dicintai oleh seseorang teman hidup dan sebaliknya. Kami ingin seseorang yang boleh berkongsi suka duka bersama dan saling menyokong antara satu sama lain.

Sememangnya tidak boleh dinafikan terdapat pelbagai pandangan masyarakat terhadap percintaan OKU. Ibu bapa kepada OKU, ibu bapa seseorang upaya yang jatuh cinta pada OKU, ahli-ahli keluarga lain dan masyarakat umum serta OKU sendiri masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Ada yang berpandangan positif seperti OKU juga harus bercinta dan berkahwin seperti orang lain. Ada ibu bapa kepada OKU mungkin menyokong anaknya bercinta dan ada yang sebaliknya.

Namun, rasanya tidak silap jika saya menyatakan bahawa kebanyakan orang mungkin memberi pandangan negatif. Pada pandangan mereka, kami ini bukan seorang lelaki atau perempuan yang ideal atas sebab ketidakupayaan yang kami alami. Kami ini sukar menjalani aktiviti-aktiviti kehidupan dan membebankan. Tanggapan negatif ini menyebabkan kebanyakan orang tidak terfikir untuk memilih kami sebagai teman mereka. Bukan itu saja, tanggapan negatif ini mungkin telah diinternalisasikan dalam diri sesetengah OKU. Hal ini menyebabkan sesetengah kami sendiri mempunyai pandangan negatif terhadap percintaan dan perkahwinan. Kami mungkin tidak berani menaruh perasaan cinta terhadap seseorang kerana berpendapat bahawa tiada orang upaya yang mungkin jatuh cinta pada kami lebih-lebih bagi kami yang mengalami tahap ketidakupayaan yang agak teruk. Apatah lagi sesetengah masyarakat mungkin juga akan memberi pandangan negatif kepada seseorang upaya yang bercinta dengan OKU. Ibu bapa mereka mungkin juga berpandangan sebegitu dan melarang mereka bercinta dengan OKU.

Tanggapan negatif ini mungkin menyebabkan ramai antara kami terpaksa hidup keseorangan. Kami mungkin tidak dapat menemui seseorang teman hidup. Kami mungkin terpaksa mengawal mahupun menidakkan perasaan cinta sungguhpun mempunyai naluri tersebut. Hal ini pasti boleh mendatangkan tekanan pada diri kami. Dari sudut yang lain, ada antara kami bercinta dengan insan yang upaya. Ada juga yang bercinta dengan OKU lain baik yang masing-masing mempunyai ketidakupayaan yang sama atau berlainan.

Walaubagaimanapun, perasaan cinta antara dua insan adalah sesuatu yang sangat sukar dinidakkan dengan begitu saja. Asalkan wujudnya perasaan cinta yang sangat kukuh, sesuatu pasangan tetap akan bersama biarpun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan tanggapan negatif orang lain. Hal ini sememangnya terbukti memandangkan ada OKU yang berumah tangga dan hidup bahagia.

Mari klip di sini mengikuti satu dokumentasi yang bertajuk "Disabled and Looking For Love" yang memaparkan kisah cinta beberapa OKU termasuk individu palsi serebrum.

12 Februari 2012

Memandu

Anda pasti sudah biasa melihat pemandu atau penunggang OKU semasa berada di jalan raya. Sememangnya terdapat sesetengah OKU yang berkeupayaan untuk memandu (atau menunggang) dan keupayaan mereka ini adalah bergantung kepada jenis dan tahap ketidakupayaan mereka selain aspek-aspek lain seperti sosioekonomi dan keyakinan mereka. Mereka yang berkeupayaan untuk memandu ini akan menggunakan kenderaan yang bersesuaian dengan mereka termasuk menggunakan kereta atau motosikal khas yang diubahsuaikan selain kereta automatik. Kenderaan yang diubahsuaikan merangkumi motosikal empat roda dan kereta serta motosikal yang membolehkan seseorang OKU memandu dengan menggunakan tangan saja.

Untuk mendapatkan lesen memandu, terlebih dahulu seseorang OKU perlu mendapatkan surat kelulusan yang mengesahkan dirinya betul-betul berkeupayaan untuk memandu dari hospital kerajaan. Doktor akan membuat pemeriksaan atau penilaian terhadap OKU itu untuk memastikan sama dirinya berkeupayaan untuk memandu atau tidak. Doktor mungkin juga akan merujuknya kepada ahli terapi untuk membuat penilaian terhadapnya dalam melakukan aktiviti tertentu yang memainkan peranan penting untuk memandu seperti memutar stereng.

Selepas itu, OKU itu perlu memberi surat pengesahan tersebut kepada pihak sekolah memandu. Mereka akan membantunya mendapatkan lesen L. Kemudian, dia perlu menduduki ujian undang-undang selepas mengikuti kursus tersebut bersama-sama pelajar-pelajar memandu yang lain. Selepas lulus ujian tersebut, dia akan belajar memandu dan mengambil ujian memandu seperti orang lain. Bagaimanapun, dia dibenarkan menggunakan kenderaan yang diubahsuai bersesuaian dengan keperluannya semasa belajar dan juga mengambil ujian. Selain itu, saiz tempat letak kereta juga akan diselaraskan mengikut saiz kenderaan yang digunakannya.

Terdapat juga individu palsi serebrum yang memandu. Anda boleh menonton video klip yang memaparkan seorang pemuda palsi serebrum memandu kereta di sini.

Dalam video klip tersebut, anda pasti akan terkejut apabila menyaksikan keupayaannya untuk memandu sungguhpun beliau mengalami masalah untuk mengawal pergerakan tangan selain menggunakan kerusi roda. Beliau merupakan seorang pelajar universiti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...