Memaparkan catatan dengan label Alat-Alat Adaptasi / Assistive Technology. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alat-Alat Adaptasi / Assistive Technology. Papar semua catatan

15 April 2012

Tandas OKU & Bekas Buangan

Pembuangan air kecil atau besar merupakan salah satu proses fisiologi yang penting. Secara puratanya, kita akan membuang air kencing lebih kurang lapan kali sehari. Kebanyakan kita boleh pergi ke tandas dan masuk ke dalam tandas dengan begitu saja untuk memenuhi keperluan fisiologi ini.

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah bagi OKU yang berkerusi roda untuk pergi ke tandas. Tandas OKU yang memenuhi spesifikasi tertentu adalah sangat penting bagi mereka. Tandas OKU haruslah mempunyai pintu yang cukup luas untuk membolehkan mereka masuk ke dalam tandas; ruang kosong yang cukup luas untuk membolehkan mereka menggerakkan kerusi roda; pemegang-pemegang (grab bars) pada kedudukan yang bersesuaian untuk memberi mereka sebagai sokongan ketika cuba mengalihkan diri mereka daripada kerusi roda ke mangkuk tandas dan sebaliknya; dan kelengkapan tandas pada kedudukan yang rendah untuk membolehkan mereka mencapai dan menggunakannya. (klip di sini untuk keterangan terperinci tentang spesifikasi tandas OKU)

Pemindahan diri daripada kerusi roda ke mangkuk tandas adalah sangat sukar atau mustahil bagi sesetengah OKU atau individu palsi serebrum yang mengalami tahap ketidakupayaan yang teruk. Untuk memindahkan diri, seseorang itu perlu mengumpulkan sepenuh tenaganya untuk cuba berdiri daripada duduk atas kerusi roda, menggerakkan kaki dan dirinya untuk mendekati mangkuk tandas lalu duduk pada mangkuk tandas tersebut. Sekiranya seseorang OKU tidak berupaya berdiri, dia sekurang-kurangnya perlu mempunyai kekuatan tangan yang tinggi untuk menganjakkan seluruh badannya dari kerusi roda ke mangkuk tandas. Sesetengah individu palsi serebrum tidak dapat melakukan pergerakan ini kerana masalah pergerakan tangan dan kaki mereka.

Mereka terpaksa bergantung pada orang lain untuk membantu mereka ke tandas. Namun, bukan mudah bagi seseorang untuk memapah mereka yang sudah besar malah dewasa. Apatah lagi mereka mungkin berbadan besar atau terasa berat untuk dipapah akibat daripada ketegangan otot yang tinggi. Hal ini sememangnya membahayakan kedua-dua mereka. Oleh itu sesetengah mereka terpaksa menggunakan bekas air buangan seperti bedpan dan urinal. Mereka perlu dibantu untuk membuang air dalam bekas dan kemudian dibantu mengosongkan serta membersihkan bekas tersebut.



Sungguhpun sesetengah mereka berupaya memindahkan diri mereka daripada kerusi roda ke mangkuk tandas, mereka memerlukan banyak tenaga dan mengambil masa yang agak lama untuk melakukannya. Hal ini meletihkan mereka apatah lagi mereka perlu ke tandas beberapa kali setiap hari. Oleh itu, adakalanya mereka juga terpaksa menggunakan bekas tersebut.

Apabila pergi ke mana-mana seperti pusat beli-belah, mereka yang memerlukan bedpan atau urinal perlu membawa bersama-sama mereka. Ketidakselesaan mungkin timbul pada diri mereka apabila dipandang aneh oleh sesetengah orang. Seharusnya orang ramai tidak berkelakuan sebegitu kerana bekas tersebut hanya merupakan salah satu alat keperluan bagi mereka. OKU khususnya yang berkerusi roda, baik yang perlu menggunakan bekas tersebut atau tidak, bergantung sepenuhnya kepada tandas yang mesra OKU untuk memenuhi keperluan semulajadi ini. Sememangnya tidak dinafikan bahawa banyak pihak telah menyediakan tandas OKU, namun kebanyakan tandas OKU tersebut tidak dapat digunakan oleh OKU kerana ia tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan. Bukan itu saja, ada juga tandas OKU yang disalahgunakan oleh orang awam yang upaya dan ada pula yang dijadikan stor.

07 Ogos 2011

Peralatan yang Membantu Mobiliti

Ada individu palsi serebrum yang berupaya berjalan sendiri. Ada yang memerlukan alat-alat sokongan mobiliti tertentu untuk berjalan khususnya bagi kanak-kanak atau remaja yang masih belajar berjalan. Alat-alat sokongan tersebut termasuklah rollator, walker dan tongkat yang boleh didapati dalam pelbagai jenis dan bentuk serta saiz. Setiap jenis dan bentuk itu mempunyai kegunaan dan kelebihan tersendiri. Pemilihan sesuatu alat sokongan bagi seseorang adalah berdasarkan keperluan atau keadaan fizikalnya dan juga kesesuaiannya.




Adakalanya, sesetengah individu yang berupaya berjalan itu perlu menggunakan kerusi roda pada masa tertentu. Contohnya, semasa mereka berada di luar bangunan yang keadaan jalannya tidak rata, semasa mereka perlu bergerak pantas, atau semasa mereka ingin bergerak pada jarak yang agak jauh atau lama. Penggunaan kerusi roda juga penting bagi kanak-kanak palsi serebrum yang masih belum berupaya berjalan atau yang baru saja mula belajar berjalan. Selain itu, ada yang langsung tidak berupaya untuk berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda buat seumur hidup mereka. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk kerusi roda yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Walaubagaimanapun, secara umumnya kerusi roda boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kerusi roda biasa yang perlu ditolak sendiri atau seseorang dan kerusi roda bermotor yang boleh bergerak sendiri dengan hanya menekan atau mengawal suiznya saja.



Selain itu, sesetengah individu palsi serebrum yang berkerusi roda perlu juga diikat pada pinggang untuk memastikan mereka duduk dengan baik dan juga mengelakkan mereka terjatuh daripada kerusi roda. Ada juga yang kakinya terpaksa diikat pada kerusi roda untuk menghalang pergerakan kaki yang tidak terkawal. Sebilangan kecil mereka juga menggunakan kusyen atau alat sokongan untuk duduk supaya mereka dapat duduk dengan posisi yang betul. Tray mungkin juga dipasang pada kerusi roda untuk membolehkan mereka membuat aktiviti harian seperti belajar, menulis atau menaip dan makan selain meletakkan buku dan juga kedua-dua tangan mereka padanya. Carta komunikasi yang digunakan oleh seseorang juga boleh dilekatkan pada tray untuk memudahkannya berkomunikasi dengan orang lain.


(Gambar-gambar adalah dari laman web www.penang.medical.com.my)


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Teknologi Maklumat & Komunikasi Membantu Individu Palsi Serebrum pada 14 Ogos 2011

31 Julai 2011

Peralatan Khas untuk Makan & Minum

Ada sebilangan kecil individu palsi serebrum khususnya yang mengalami palsi serebrum jenis spastik diplegia tidak mengalami sebarang masalah untuk menyuap sendiri. Mereka boleh memakan dengan baik seperti orang lain. Ada yang berupaya menyuap sendiri dengan menggunakan peralatan yang biasa tetapi agak sukar sedikit akibat daripada masalah pergerakan yang dialami. Tahap kesukaran yang dialami oleh seseorang itu adalah berbeza antara satu sama lain.

Ada yang memerlukan bantuan seseorang untuk menyuap mereka. Hal ini kerana mereka mungkin tidak berupaya memegang sudu biasa dengan pemegang yang kecil; mengalami ketegangan otot yang terlalu tinggi sehingga tidak berupaya menggerakkan tangan ke arah makanan, mengambil makanan dengan sudu dan membawa sudu bersama makanan ke mulut; tidak dapat mengawal pergerakan tangan semasa makan; tidak dapat duduk dengan baik dan lain-lain. Walaubagaimanapun, sebilangan kecil mereka berupaya menyuap makanan sendiri dengan adanya peralatan khas.

Contohnya, penggunaan pengalas yang tidak licin untuk mengalas pinggan atau meja khas dapat menghalang pingan daripada tergerak-gerak semasa seseorang mengambil makanan dari pingan tersebut akibat daripada pergerakan tangan yang abnormal atau tidak terkawal; sudu atau garpu yang mempunyai pemegang plastik yang besar untuk memudahkan seseorang itu untuk memegangnya; dan bentuk sudu atau garpu yang direka khas untuk memudahkan seseorang mengambil makanan dan memasukkannya ke dalam mulut; selain menggunakan pingan yang bersesuaian.

Pengalas (Dycem Non-Slip Mat)



Contoh Sudu/Garpu yang Khas




Ada individu palsi serebrum berupaya meminum air sendiri daripada cawan. Ada pula yang tidak berupaya untuk meminum air daripada cawan dan memerlukan penyedut minuman. Penggunaan cawan yang mempunyai pemegang adalah penting bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan tangan untuk minum. Pemegang cawan itu haruslah besar untuk membolehkan seseorang memegangnya dengan baik. Seboleh-bolehnya cawan itu ringan dan tidak mudah pecah untuk membolehkan seseorang menggunakannya dengan mudah dan selamat. Selain itu, terdapat juga cawan yang direka khas seperti sebahagian pinggir cawan yang berbentuk separuh bulat untuk memudahkan seseorang minum.

Contoh Cawan/Gelas yang Khas




Ikuti catatan seterusnya bertajuk Peralatan yang Membantu Mobiliti pada 7 Ogos 2011

24 Julai 2011

Alat-Alat Adaptasi / Assistive Technology

Assistive techonology atau adaptive technology merupakan teknologi yang membantu individu-individu kurang upaya dan mungkin juga orang lain yang tidak berupaya atau mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian. Contohnya, mereka yang tidak berkeupayaan atau sukar untuk bergerak, menyuap makanan dan minuman, menguruskan diri khususnya mandi dan memakai pakaian, mendengar, melihat, menulis, belajar, mengakses maklumat, berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain, dan sebagainya. Teknologi ini akan membolehkan mereka melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dengan lebih mudah atau memudahkan orang lain untuk membantu mereka.

Teknologi ini merangkumi pelbagai peralatan atau perkakasan baik yang melibatkan tahap teknologi atau kos yang rendah mahupun yang melibatkan tahap teknologi atau kos yang tinggi. Ia termasuklah peralatan yang membantu mobiliti seperti walker, rollator, tongkat putih dan kerusi roda; peralatan untuk makan dan minum yang khas termasuk sudu, cawan dan pingan serta alasnya; perkakasan dan perisian komputer yang khas; peralatan yang membantu individu bermasalah pendengaran seperti hearing aid; peralatan yang membantu pembelajaran seperti mesin braille, kanta pembesar dan word prediction; dan sebagainya.

Dengan adanya teknologi ini, golongan kurang upaya dapat menjalankan kehidupan yang lebih baik. Ia juga memberi peluang yang lebih baik kepada mereka untuk belajar, mengakses maklumat dan berhubung dengan orang lain. Hal ini semua amat penting agar mereka dapat hidup dengan lebih berdikari. Seperti teknologi lain, teknologi ini akan sentiasa berkembang dengan penciptaan peralatan-peralatan yang baru atau yang lebih baik untuk membantu OKU. Namun begitu, sesetengah teknologi ini seperti kerusi roda bermotor dan perkakasan serta perisian komputer yang khas melibatkan kos yang tinggi dan hanya mampu dimiliki oleh sebilangan kecil masyarakat saja.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Peralatan Khas untuk Makan & Minum pada 31 Julai 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...