13 Mac 2011

Palsi Serebrum & Meleleh Air Liur (Drooling)

Meleleh air liur atau drooling dalam bahasa inggeris bermaksud ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa bayi dan mungkin juga kanak-kanak kecil akan meleleh air liur. Namun, air liur yang dileleh keluar akan berkurangan dan seterusnya berhenti sejajar dengan peningkatan umur seseorang kanak-kanak. Seseorang kanak-kanak yang telah berumur empat tahun tidak seharusnya meleleh air liur lagi kecuali mereka yang menghadapi ketidakupayaan atau masalah kesihatan seperti palsi serebrum.

Individu-individu palsi serebrum mungkin akan meleleh air liur. Hal ini disebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menelan, kesukaran untuk mengalirkan air liur ke belakang kerongkong, kesukaran untuk menutup mulut dan sebagainya. Masalah ketidakupayaan untuk mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut mungkin bertambah parah sekiranya seseorang itu mempunyai kawalan kepala (head control) yang lemah, postur badan yang abnormal, kekurangan deria rasa pada sekeliling mulut, bernafas dengan mulut, kurang tumpuan dan semasa dia berasa teruja akan sesuatu.

Ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut akan menjejaskan kebersihan dan kesihatan diri. Seseorang itu mungkin akan menghadapi masalah kulit akibat daripada selalu terkena air liur. Hal ini semua seterusnya mungkin akan menyebabkan kawan-kawan atau orang lain tidak suka mendekatinya.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Kesukaran Menelan pada 20 Mac 2011

06 Mac 2011

Palsi Serebrum & Epilepsi

Individu palsi serebrum juga berkemungkinan mengalami sawan atau epilepsi. Malah, individu palsi serebrum lebih berisiko mengalami epilepsi daripada orang lain yang tidak mengalami masalah saraf. Difahamkan bahawa lebih banyak individu palsi serebrum jenis spastik yang mengalami epilepsi berbanding dengan palsi serebrum jenis lain. Hal ini kerana salah satu bahagian otak yang berisiko tinggi menyebabkan epilepsi merupakan bahagian otak yang menyebabkan palsi serebrum jenis spastik, sekiranya ia mengalami kerosakan atau kecederaan.

Apabila seseorang mengalami epilepsi, dia akan hilang kawalan terhadap pergerakan badannya dan kurang atau langsung tidak sedar akan dirinya dan juga persekitarannya. Sesuatu episod epilepsi biasanya akan berakhir selepas beberapa saat atau beberapa minit. Selepas sesuatu episod epilepsi, seseorang itu mungkin akan berasa lesu, keliru dan sebagainya. Dia akan kembali normal atau seperti sediakala selepas beberapa minit atau jam. Dia berkemungkinan juga memerlukan masa beberapa hari untuk kembali normal atau seperti sediakala.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Meleleh Air Liur (Drooling) pada 13 Mac 2011

27 Februari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Intelektual dan Pembelajaran

Difahamkan bahawa dua per tiga daripada individu palsi serebrum mempunyai kecerdasan mental yang lebih rendah atau mengalami masalah intelektual. Satu per tiga daripadanya hanya mengalami masalah intelektual pada tahap minimum, manakala satu per tiga lagi pada tahap sederhana atau teruk. Individu palsi serebrum yang lain (satu per tiga daripada mereka) mempunyai kecerdasan mental yang normal, malah ada yang lebih tinggi.

Seseorang yang mengalami masalah intelektual akan menghadapi kesukaran dalam sesetengah aspek kehidupan. Mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam pengurusan diri, aktiviti-aktiviti harian, penjagaan kesihatan dan keselamatan diri, bidang akademik, kemahiran komunikasi, kemahiran sosial, kemahiran bermain atau melibatkan diri dalam aktiviti masa lapang dan juga bekerja. Kesukaran yang dihadapi mereka adalah berbeza antara satu sama lain.

Walaubagaimanapun, kebanyakan mereka hanya memerlukan masa yang lebih lama sedikit untuk mempelajari sesuatu yang baru. Dengan latihan atau terapi dan bimbingan, mereka berkeupayaan menjalani kehidupan berdikari dan hidup bermasyarakat.

Individu palsi serebrum baik yang mempunyai kecerdasan normal atau lebih rendah juga berkemungkinan mengalami masalah pembelajaran. Mereka yang mengalami masalah pembelajaran bukan bermaksud mereka ini tidak boleh belajar. Mereka mungkin memerlukan strategi pembelajaran yang berlainan atau memerlukan masa yang lebih panjang untuk belajar, dan mereka juga boleh mencapai kejayaan dalam pelajaran.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Epilepsi pada 6 Mac 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...