03 April 2011

Palsi Serebrum & Masalah Sistem Rangka

Palsi serebrum berkait rapat dengan ketegangan otot yang tidak selaras. Ada yang mengalami ketegangan otot yang terlalu tinggi dan ada yang mengalami ketegangan otot yang terlalu rendah. Ada juga yang kadang-kadang mengalami ketegangan otot yang terlalu tinggi dan kadang-kadang mengalami ketegangan otot yang terlalu rendah.

Ketegangan dan juga kekuatan otot yang tidak selaras ini boleh menyebabkan masalah pada sistem rangka seseorang itu. Postur badan individu-individu palsi serebrum yang tidak betul semasa duduk, berdiri, berjalan dan sebagainya juga akan menyebabkan masalah sistem rangka. Hal ini mungkin akan menyebabkan scoliosis di mana tulang belakang mereka akan menjadi bengkok atau pada keadaan yang abnormal selepas suatu tempoh masa, sendi-sendi mereka mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik dan sebagainya.

Pinggul mereka mungkin juga akan lari daripada kedudukannya yang dipanggil (hip dislocation) dalam bahasa Inggeris. Sekiranya tidak dirawat, masalah hip dislocation ini akan mendatangkan kesakitan.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Perkumuhan pada 10 April 2011

27 Mac 2011

Palsi Serebrum & Masalah Pertumbesaran

Masalah menelan atau makan dan minum yang dihadapi oleh individu-individu palsi serebrum berkemungkinan akan menyebabkan masalah pertumbesaran atau tumbesaran yang terbantut. Mereka yang mengalami masalah pertumbesaran akan kelihatan jauh lebih kecil berbanding dengan kanak-kanak lain yang seumur dengan mereka.

Selain itu, bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap pertumbesaran seseorang palsi serebrum berkemungkinan juga mengalami kecederaan atau kerosakan. Kecederaan atau kerosakan pada bahagian otak ini akan menyebabkan masalah pertumbesaran pada individu berkenaan.

Selain masalah pertumbesaran, ada juga individu palsi serebrum yang lewat mencapai akil baligh.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Sistem Rangka pada 3 April 2011

20 Mac 2011

Palsi Serebrum & Kesukaran Menelan

Individu-individu palsi serebrum mungkin juga menghadapi kesukaran untuk menelan atau makan dan minum terutamanya ketika seseorang itu masih kecil lagi. Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk menghisap air dan susu daripada botol.

Ada individu palsi serebrum mungkin menghadapi kesukaran atau langsung tidak berupaya untuk minum dari cawan atau gelas, dan perlu menggunakan penyedut. Malah ada antara mereka juga menghadapi kesukaran untuk menyedut minuman dengan menggunakan penyedut. Sebahagian air yang diminum atau disedut mungkin akan meleleh keluar daripada mulut. Selain minum, mereka juga menghadapi kesukaran untuk makan termasuk menggigit, mengunyah dan menelan makanan.

Antara faktor yang menyebabkan masalah ini termasuklah otot-otot mulut yang lemah atau terlalu tegang mengakibatkan kesukaran untuk mengunyah; kesukaran menutup mulut dengan rapat yang mengakibatkan makanan terkeluar daripada mulut semula semasa cuba mengunyah; kesukaran melakukan pergerakan lidah yang betul untuk mengawal makanan semasa ia dikunyah atau untuk menolak makanan dari bahagian luar mulut ke bahagian dalam mulut; otot-otot muka yang lemah mengakibatkan makanan disimpan atau terus berada pada bahagian tepi (dalam) mulut; deria rasa yang kurang peka mengakibatkan seseorang itu tidak sedar bahawa terdapat makanan di dalam mulutnya atau kedudukan makanan tersebut dalam mulut; dan sebagainya. Kesukaran menelan ini akan menyebabkan seseorang itu menghadapi pelbagai kesukaran semasa makan atau minum seperti tersedak/batuk semasa atau sejurus selepas makan, makan dengan kadar agak perlahan, memerlukan usaha yang lebih untuk mengunyah, tercekik dan sebagainya.

Bagi mengurangkan risiko seseorang individu palsi serebrum daripada tercekik, dia haruslah dipastikan duduk dengan postur yang betul semasa makan. Dengan postur yang betul, masalah menelan atau makan dan minum yang lain mungkin juga dapat dihadapi dengan baik. Bagi mereka yang menghadapi kesukaran menelan atau makan dan minum yang teruk, mereka mungkin akan diberi makanan dan minuman melalui tiub untuk mengelakkan mereka daripada kekurangan makanan termasuk air.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Pertumbuhan pada 27 Mac 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...