10 Julai 2011

Makaton

Makaton merupakan suatu cara komunikasi yang melibatkan penggunaan simbol atau gambar, pergerakan atau petunjuk tangan (hand sign), ekspresi muka dan juga pertuturan. Ia mengandungi lebih kurang 350-450 perkataan-perkataan yang biasa digunakan dalam kehidupan harian. Perkataan-perkataan tersebut dibahagikan kepada lapan peringkat berdasarkan tahap perbendaharaan kata. Perkataan-perkataan yang digolongkan dalam tahap pertama dan tahap kedua merupakan perbendaharaan kata yang agak mudah. Ia termasuklah kata-kata yang mengambarkan keperluan asas seperti makan, minum dan tandas; memberi salam atau penghargaan iaitu selamat pagi dan terima kasih; dan panggilan asas dalam keluarga seperti ibu, ayah, abang dan kakak. Manakala, perkataan-perkataan yang digolongkan dalam tahap yang lebih tinggi menggambarkan perbendaharaan kata atau konsep yang lebih susah seperti besar, kecil, gembira, nama, susah, siapa, berapa, pakaian dan sebagainya.

Makaton akan memanfaatkan sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa yang langsung tidak berupaya untuk bertutur atau mendapati sangat sukar untuk bertutur seperti mereka yang mengalami palsi serebrum. Mereka boleh memberitahu keperluan mereka atau berkomunikasi dengan orang lain melalui pergerakan tangan. Dengan penggunaan makaton, kanak-kanak yang mengalami masalah intelektual atau kognitif juga akan mempelajari perkataan-perkataan atau bahasa dengan lebih mudah. Selain mendengar sebutan sesuatu perkataan, mereka juga akan ditunjukkan sesuatu simbol atau gambar dan cara pergerakan tangan yang mengambarkan perkataan tersebut. Di samping itu, ia mungkin juga disertai mimik muka yang bersesuaian dengan perkataan tersebut. Dengan ini, mereka akan memahami maksud sesuatu perkataan dengan lebih mudah. Hal ini seterusnya akan membantu mereka untuk berkomunikasi sama ada secara verbal atau dengan menggunakan pergerakan tangan. Bagaimanapun, kebolehan seseorang individu palsi serebrum untuk berkomunikasi melalui penggunaan makaton juga bergantung kepada keupayaan individu tersebut melakukan pergerakan tangan dan juga tahap kognitifnya.

Contoh-contoh






Ikuti catatan seterusnya bertajuk Carta Komunikasi pada 17 Julai 2011

03 Julai 2011

Penggunaan 'Brace' atau 'Orthoses'

Brace yang juga dikenali sebagai orthoses merupakan sesuatu alat ortopedik yang dipakai oleh sesetengah individu yang mengalami masalah-masalah yang berkaitan dengan ortopedik seperti palsi serebrum. Brace biasanya dibuat oleh pakar-pakar ortopedik dengan menggunakan plastik. Ada juga yang diperbuat daripada logam, kulit atau campuran bahan-bahan tersebut. Brace akan memegang anggota badan tertentu seperti kaki supaya ia kekal berada dalam posisi yang stabil. Antara fungsi brace adalah seperti menstabilkan anggota badan termasuk bahagian belakang badan, mengurangkan ketegangan otot, mengelakkan atau mengurangkan masalah sistem rangka atau anggota badan yang berposisi abnormal, meningkatkan fungsi sesuatu anggota badan dan sebagainya.

Terdapat pelbagai jenis brace yang digunakan oleh individu-individu palsi serebrum khususnya kanak-kanak seperti Ankle-Foot Orthoses, Knee-Ankle Foot Orthoses, Spinal Orthoses, Foot Orthoses dan Hand Orthoses. Kebanyakan brace seharusnya dipakai sepanjang hari. Ada yang hanya dipakai semasa mereka berlatih berdiri dan berjalan seperti knee-ankle orthoses.

Ankle-foot orthoses atau AFO merupakan salah satu jenis brace yang biasa dipakai oleh kanak-kanak palsi serebrum yang berjalan terjungkit-jungkit. AFO terbahagi kepada beberapa jenis atau bentuk dan dipakai untuk meregangkan tendon Achilies. Mereka yang tidak boleh meregangkan otot-otot pada tangan sehingga menyebabkan tangan sentiasa berada dalam keadaan tegang atau jari-jari sentiasa tertutup rapat mungkin boleh memakai hand orthoses yang bersesuaian. Begitu juga dengan mereka yang mengalami masalah untuk duduk tegak atau scoliosis mungkin akan disaran supaya memakai spinal orthoses.

Contoh Ankle-Foot Orthoses

Contoh Knee-Ankle Foot Orthoses

Contoh Hand Orthoses



Ikuti catatan seterusnya bertajuk Makaton pada 10 Julai 2011

26 Jun 2011

Pendidikan

Banyak kanak-kanak palsi serebrum memerlukan pendidikan khas. Hal ini kerana masalah pergerakan badan yang dialami akan menyukarkan mereka untuk belajar. Selain itu, sebilangan mereka juga mengalami kecerdasan mental yang lebih rendah dan ada juga yang mengalami masalah pembelajaran serta masalah-masalah sampingan yang lain. Namun begitu, bukan mereka semua memerlukan pendidikan khas bagi sepanjang tempoh persekolahan mereka. Ada yang hanya memerlukan pendidikan khas bagi beberapa bulan atau tahun sahaja dan dengan bimbingan awal tersebut, mereka berkeupayaan mengikuti pelajaran di sekolah biasa selepas itu. Oleh itu, kanak-kanak palsi serebrum haruslah diberi pendidikan khas seawal yang mungkin agar lebih banyak daripada mereka berpeluang ke sekolah biasa apabila tiba masanya.

Pendidikan khas merupakan pendidikan bagi pelajar-pelajar kurang upaya yang mengalami kesukaran untuk mengikuti cara-cara pengajaran dan pembelajaran dan mungkin juga silibus yang biasanya diikuti oleh pelajar-pelajar lain. Mereka mengalami kesukaran tersebut akibat daripada ketidakupayaan yang dialami khususnya dari segi penglihatan, pendengaran dan pembelajaran. Mereka terutamanya yang mengalami ketidakupayaan penglihatan dan pendengaran biasanya akan diajar dengan berdasarkan silibus yang sama tetapi memerlukan cara-cara pengajaran dan pembelajaran yang berlainan seperti dengan penggunaan braille, mesin braille, bahasa isyarat dan sebagainya. Manakala, sesetengah OKU yang mengalami masalah pembelajaran atau pelbagai ketidakupayaan bukan saja memerlukan cara-cara pengajaran dan pembelajaran yang berbeza, tetapi mereka juga tidak dapat mengikuti silibus biasa dengan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Mereka ini akan diajar berdasarkan silibus yang diubahsuaikan supaya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan masing-masing. Dengan adanya silibus dan cara pengajaran serta pembelajaran yang bersesuaian, mereka akan mempelajari sesuatu dengan lebih mudah dan berkesan.

Selain itu, mereka yang mengikuti pendidikan khas biasanya juga akan diajar berdasarkan Pelan Pembelajaran Individu (Individualized Education Plan - IEP). IEP direka untuk memenuhi keperluan akademik seseorang pelajar kurang upaya itu. Dengan berdasarkan pencapaian akademik seseorang pelajar pada sesuatu masa, IEP akan menggariskan matlamat seterusnya yang harus dicapai oleh pelajar itu dalam tempoh masa tertentu seperti setahun, dan usaha-usaha serta cara-cara yang perlu diambil untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut. Seseorang yang kurang upaya boleh mendapatkan pendidikan khas sama ada di sekolah-sekolah khas yang bersesuaian atau kelas-kelas khas yang didapati di sesetengah sekolah.

Bagi pelajar-pelajar palsi serebrum khususnya yang mengalami palsi serebrum tahap sederhana atau teruk seperti tidak berupaya duduk dengan betul, tidak berupaya atau sangat sukar untuk menulis dan mengalami masalah pembelajaran yang teruk, mereka biasanya perlu mengikuti pendidikan khas bagi sepanjang tempoh persekolahan. Selain itu, ada yang terus pergi belajar di sekolah-sekolah biasa khususnya mereka yang mengalami palsi serebrum tahap rendah. Ada yang langsung tidak bersekolah atau tercicir daripada alam persekolahan kerana tiada sekolah khas yang bersesuaian atau tidak tahu akan kewujudannya dan juga tidak berupaya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di sekolah biasa atas sebab ketidakupayaan atau sebab-sebab lain. Ada yang terpaksa meneruskan pelajaran di sekolah khas walaupun berpotensi belajar di sekolah biasa atas masalah-masalah tertentu termasuk persekitaran sekolah yang kurang mesra OKU, masalah pengangkutan, tiada ahli keluarga yang mempunyai masa untuk menghantar dan mungkin menjaganya di sekolah dan kurang penerimaan serta sokongan pihak sekolah terutamanya guru selain keadaan fizikal yang kurang mengizinkan.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Penggunaan 'Brace' atau 'Orthoses' pada 3 Julai 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...