13 Mac 2011

Palsi Serebrum & Meleleh Air Liur (Drooling)

Meleleh air liur atau drooling dalam bahasa inggeris bermaksud ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa bayi dan mungkin juga kanak-kanak kecil akan meleleh air liur. Namun, air liur yang dileleh keluar akan berkurangan dan seterusnya berhenti sejajar dengan peningkatan umur seseorang kanak-kanak. Seseorang kanak-kanak yang telah berumur empat tahun tidak seharusnya meleleh air liur lagi kecuali mereka yang menghadapi ketidakupayaan atau masalah kesihatan seperti palsi serebrum.

Individu-individu palsi serebrum mungkin akan meleleh air liur. Hal ini disebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menelan, kesukaran untuk mengalirkan air liur ke belakang kerongkong, kesukaran untuk menutup mulut dan sebagainya. Masalah ketidakupayaan untuk mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut mungkin bertambah parah sekiranya seseorang itu mempunyai kawalan kepala (head control) yang lemah, postur badan yang abnormal, kekurangan deria rasa pada sekeliling mulut, bernafas dengan mulut, kurang tumpuan dan semasa dia berasa teruja akan sesuatu.

Ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut akan menjejaskan kebersihan dan kesihatan diri. Seseorang itu mungkin akan menghadapi masalah kulit akibat daripada selalu terkena air liur. Hal ini semua seterusnya mungkin akan menyebabkan kawan-kawan atau orang lain tidak suka mendekatinya.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Kesukaran Menelan pada 20 Mac 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...