18 Disember 2011

Penglibatan Dalam Sukan

Terdapat pelbagai jenis acara sukan bagi golongan kurang upaya (OKU). Contohnya, olahraga, memanah, badminton, catur, caroom, renang, boccia, football 5-a-side, football 7-a-side, berbasikal, goalball, wheelchair tennis, wheelchair dance sport, angkat berat, wheelchair fencing, wheelchair rugby dan table tennis. Ada antara acara-acara sukan itu adalah serupa dengan sukan bagi atlet-atlet upaya, sama ada tanpa atau dengan sedikit pengubahsuaian untuk memenuhi keperluan OKU. Ada juga acara-acara sukan yang direka khusus untuk golongan OKU sahaja. Atlet-atlet OKU boleh bertanding antara satu sama lain sama ada pada peringkat kebangsaan, serantau mahupun antarabangsa seperti atlet-atlet upaya.

Secara umumnya, atlet-atlet kurang upaya boleh dibahagikan kepada 6 kategori dengan berdasarkan jenis ketidakupayaan iaitu OKU yang berkerusi roda, kudung, cacat penglihatan, palsi serebrum, bermasalah intelektual dan juga OKU fizikal lain yang tidak boleh tergolong dalam mana-mana satu daripada kelima-lima kategori seperti orang kedil dan mereka yang mengalami multiple sclerosis.

Acara-acara sukan yang boleh diceburi oleh seseorang OKU adalah berdasarkan jenis dan tahap ketidakupayaan. Ada antara acara-acara sukan itu terbuka kepada semua atau beberapa kategori OKU tertentu termasuk palsi serebrum seperti renang dan olahraga. Ada juga acara sukan yang khusus bagi salah satu kategori OKU sahaja seperti boccia dan football 7-a-side hanya untuk mereka yang mengalami palsi serebrum dan mereka yang mengalami ketidakupayaan yang hampir serupa dengan palsi serebrum atau non-progressive neurological disorder lain seperti traumatic brain injury; dan judo, goalball dan football 5-a-side adalah bagi OKU penglihatan sahaja.



Ikuti catatan seterusnya bertajuk Football 7-a-side pada 8 Januari 2012


"SELAMAT HARI KRISMAS & SELAMAT TAHUN BARU 2012"

11 Disember 2011

Kar Wei - Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang OKU 2010

Teh Kar Wei telah dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Pekerja OKU sempena sambutan Hari Pekerja 2010. Beliau ialah seorang guru komputer di Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy Pulau Pinang. Beliau mengalami palsi serebrum jenis athetoid. Walaupun mengalami masalah pergerakan yang tidak terkawal dan juga masalah pertuturan, beliau merupakan seorang guru yang dedikasi dan sentiasa berusaha gigih untuk mendidik anak-anak muridnya.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Penglibatan Dalam Sukan pada 18 December 2011.

04 Disember 2011

Alam Pekerjaan Kami

Terdapat banyak individu palsi serebrum yang tidak mempunyai pekerjaan dan ada yang langsung tidak berpeluang bekerja. Bagi kami yang tidak bekerja ini, kami terpaksa menghabiskan masa di rumah sepanjang hari. Situasi ini bukan sehari dua, tetapi ia berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Hal ini memberi pelbagai impak negatif terhadap kami. Apatah lagi kami bukan saja tidak bekerja, tetapi kami juga sukar atau langsung tidak mampu keluar bersiar-siar.

Bagi kami yang bekerja pula, kebanyakan kami bekerja di bengkel terlindung yang disediakan khusus bagi OKU yang tidak berupaya mendapatkan pekerjaan di pasaran terbuka. Ada juga yang terpaksa bekerja sendiri seperti menjual barang atau loteri. Ada juga antara kami yang bekerja di badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Kanak-Kanak Cerebrum Palsy. Ada juga antara kami khususnya yang mengalami tahap ketidakupayaan ringan bekerja di kilang. Terdapat juga segelintir kecil kami bekerja di sektor awam mahupun sektor swasta.

Antara cabaran bagi kami untuk bekerja termasuklah:
  • Tahap ketidakupayaan - Seperti yang anda telah ketahui, tahap ketidakupayaan kami adalah berlainan antara satu sama lain iaitu dari sangat minima hingga sangat teruk. Selain palsi serebrum, kami juga mengalami pelbagai ketidakupayaan atau masalah sampingan lain. Oleh itu, kami terutamanya yang mengalami palsi serebrum tahap teruk adalah tidak berupaya bekerja. Bagi kami yang lain, kami juga mempunyai kesukaran tertentu dalam melakukan sesuatu kerja dan ada juga kerja tertentu tidak dapat kami lakukan.

  • Tahap pendidikan - Kebanyakan kami tidak berpeluang ke sekolah biasa disebabkan ketidakupayaan fizikal dan mental, masalah kekeluargaan, masalah pengangkutan, persekitaran sekolah yang kurang mesra OKU dan sebagainya. Kami hanya mendapat pendidikan asas. Kami tidak menduduki peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. Hal ini menyebabkan kami sukar mencari kerja memandangkan kebanyakan kerja memerlukan sekurang-kurangnya kelayakan SPM atau peringkat yang lebih tinggi.

  • Penerimaan majikan - Banyak majikan tidak mahu menggaji kami kerana mempunyai pelbagai persepsi negatif terhadap kami apatah lagi mereka terutamanya sektor swasta mementingkan keuntungan. Mereka ragu akan keupayaan kami untuk bekerja apabila mengetahui ketidakupayaan yang kami alami.

  • Aksesibiliti - Kebanyakan kami memerlukan kemudahan OKU seperti tandas OKU, ram, railing untuk menjalani kehidupan harian. Namun pihak majikan tidak sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk menyediakan kemudahan khas ini semata-mata demi mengambil kami sebagai pekerja. Kebanyakan kami tidak berupaya bekerja di persekitaran yang tidak mesra OKU.

  • Masalah pengangkutan - Kebanyakan kami bergantung kepada seseorang untuk membawa kami berulang-alik antara rumah dengan tempat kerja.

  • Kurang keyakinan ibu bapa - Ibu bapa dan keluarga kami bimbang akan keselamatan kami ketika kami berada di luar. Mereka takut kami akan jatuh dan cedera memandangkan kami menghadapi masalah pergerakan. Mereka juga tidak yakin akan keupayaan kami untuk bekerja.

Walaubagaimanapun, kami sebenarnya berkeupayaan untuk bekerja sekiranya diberi peluang dan sokongan. Kami sentiasa cuba sedaya upaya untuk melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin. Hal ini terbukti apabila terdapat individu palsi serebrum yang diberi anugerah pekerja cemerlang OKU.

Individu palsi serebrum bekerja di Kedai Dobi OKU

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Kar Wei – Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang OKU 2010 pada 11 December 2011.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...