26 Jun 2011

Pendidikan

Banyak kanak-kanak palsi serebrum memerlukan pendidikan khas. Hal ini kerana masalah pergerakan badan yang dialami akan menyukarkan mereka untuk belajar. Selain itu, sebilangan mereka juga mengalami kecerdasan mental yang lebih rendah dan ada juga yang mengalami masalah pembelajaran serta masalah-masalah sampingan yang lain. Namun begitu, bukan mereka semua memerlukan pendidikan khas bagi sepanjang tempoh persekolahan mereka. Ada yang hanya memerlukan pendidikan khas bagi beberapa bulan atau tahun sahaja dan dengan bimbingan awal tersebut, mereka berkeupayaan mengikuti pelajaran di sekolah biasa selepas itu. Oleh itu, kanak-kanak palsi serebrum haruslah diberi pendidikan khas seawal yang mungkin agar lebih banyak daripada mereka berpeluang ke sekolah biasa apabila tiba masanya.

Pendidikan khas merupakan pendidikan bagi pelajar-pelajar kurang upaya yang mengalami kesukaran untuk mengikuti cara-cara pengajaran dan pembelajaran dan mungkin juga silibus yang biasanya diikuti oleh pelajar-pelajar lain. Mereka mengalami kesukaran tersebut akibat daripada ketidakupayaan yang dialami khususnya dari segi penglihatan, pendengaran dan pembelajaran. Mereka terutamanya yang mengalami ketidakupayaan penglihatan dan pendengaran biasanya akan diajar dengan berdasarkan silibus yang sama tetapi memerlukan cara-cara pengajaran dan pembelajaran yang berlainan seperti dengan penggunaan braille, mesin braille, bahasa isyarat dan sebagainya. Manakala, sesetengah OKU yang mengalami masalah pembelajaran atau pelbagai ketidakupayaan bukan saja memerlukan cara-cara pengajaran dan pembelajaran yang berbeza, tetapi mereka juga tidak dapat mengikuti silibus biasa dengan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Mereka ini akan diajar berdasarkan silibus yang diubahsuaikan supaya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan masing-masing. Dengan adanya silibus dan cara pengajaran serta pembelajaran yang bersesuaian, mereka akan mempelajari sesuatu dengan lebih mudah dan berkesan.

Selain itu, mereka yang mengikuti pendidikan khas biasanya juga akan diajar berdasarkan Pelan Pembelajaran Individu (Individualized Education Plan - IEP). IEP direka untuk memenuhi keperluan akademik seseorang pelajar kurang upaya itu. Dengan berdasarkan pencapaian akademik seseorang pelajar pada sesuatu masa, IEP akan menggariskan matlamat seterusnya yang harus dicapai oleh pelajar itu dalam tempoh masa tertentu seperti setahun, dan usaha-usaha serta cara-cara yang perlu diambil untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut. Seseorang yang kurang upaya boleh mendapatkan pendidikan khas sama ada di sekolah-sekolah khas yang bersesuaian atau kelas-kelas khas yang didapati di sesetengah sekolah.

Bagi pelajar-pelajar palsi serebrum khususnya yang mengalami palsi serebrum tahap sederhana atau teruk seperti tidak berupaya duduk dengan betul, tidak berupaya atau sangat sukar untuk menulis dan mengalami masalah pembelajaran yang teruk, mereka biasanya perlu mengikuti pendidikan khas bagi sepanjang tempoh persekolahan. Selain itu, ada yang terus pergi belajar di sekolah-sekolah biasa khususnya mereka yang mengalami palsi serebrum tahap rendah. Ada yang langsung tidak bersekolah atau tercicir daripada alam persekolahan kerana tiada sekolah khas yang bersesuaian atau tidak tahu akan kewujudannya dan juga tidak berupaya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di sekolah biasa atas sebab ketidakupayaan atau sebab-sebab lain. Ada yang terpaksa meneruskan pelajaran di sekolah khas walaupun berpotensi belajar di sekolah biasa atas masalah-masalah tertentu termasuk persekitaran sekolah yang kurang mesra OKU, masalah pengangkutan, tiada ahli keluarga yang mempunyai masa untuk menghantar dan mungkin menjaganya di sekolah dan kurang penerimaan serta sokongan pihak sekolah terutamanya guru selain keadaan fizikal yang kurang mengizinkan.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Penggunaan 'Brace' atau 'Orthoses' pada 3 Julai 2011

19 Jun 2011

Pendidikan Konduktif

Pendidikan Konduktif (dipanggil Conductive Education dalam bahasa Inggeris) merupakan suatu sistem pendidikan bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa yang mengalami ketidakupayaan yang melibatkan motor kasar dan motor halus akibat daripada kecederaan pada sistem saraf seperti palsi serebrum dan angin ahmar atau strok. Sistem pendidikan ini diperkenalkan oleh Dr. Andras Peto pada tahun 1940-an di Hungary.

Sistem pendidikan ini berasaskan pandangan bahawa masalah kemahiran motor yang dihadapi seseorang bukan hanya menjejaskan perkembangan motornya saja, tetapi masalah tersebut juga akan menjejaskan dirinya untuk mempelajari sesuatu yang penting demi perkembangan kemahiran-kemahiran diri yang lain. Oleh itu, sistem ini menggunakan pendekatan yang menekankan perkembangan holistik seseorang yang merangkumi perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sosial; berbanding dengan hanya tertumpu pada perkembangan fizikal atau motor seseorang itu.

Sistem pendidikan ini merujuk kepada proses pembelajaran seseorang yang mengalami masalah kemahiran motor dalam menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti menguling ke arah sesuatu khususnya alat permainan, duduk dan memanipulasikan alat permainan atau melakukan sesuatu, berjalan ke sesuatu tempat, potty training, membersihkan diri, menyuap diri sendiri makanan dan minuman, dan sebagainya. Seseorang itu akan didorong untuk menangani masalah kemahiran motornya demi melakukan aktiviti-aktiviti tersebut. Hal ini seterusnya akan mendorong seseorang itu hidup berdikari dalam masyarakat.

Pendidikan ini melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai tahap ketidakupayaan yang hampir sama, seorang konduktor dan beberapa orang fasilitator. Seseorang konduktor itu akan merancang satu siri aktiviti yang penting bagi kumpulan kanak-kanak itu dengan berdasarkan umur dan tahap ketidakupayaan mereka. Kemudian konduktor itu akan mengajar kumpulan kanak-kanak itu melakukan aktiviti-aktiviti yang dirancang itu. Contohnya, mereka akan diminta mencapai sesuatu dan meletakkannya pada alat bantuan berjalan mereka, bangun dari tempat duduk, berjalan ke arah sesuatu tempat untuk meletakkan atau menyimpan alat permainan tersebut. Mereka masing-masing akan cuba melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dengan bimbingan fasilatator yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga atau guru. Lagu yang bersesuaian dengan aktiviti-aktiviti yang sedang dilakukan akan dinyanyikan supaya mereka boleh melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dengan gembira. Aktiviti-aktiviti ini akan dilakukan setiap hari berdasarkan pandangan bahawa sesuatu kemahiran akan dipelajari dan dikuasai apabila dilakukan secara berterusan.


Melalui pendidikan ini, mereka bukan saja akan berlatih kemahiran-kemahiran motor seperti beralih posisi daripada duduk kepada berdiri; berjalan dengan sokongan; mencapai, mengenggam dan meletakkan sesuatu pada tempat tertentu; dan sebagainya, tetapi mereka juga mempelajari cara-cara melakukan sesuatu aktiviti atau menyelesaikan masalah-masalah harian mereka. Mereka juga akan lebih bermotivasi berlatih kemahiran-kemahiran motor apabila diminta melakukan aktiviti yang bermakna seperti pergi menyimpan sesuatu di tempat yang dikhaskan. Selain itu, kehadiran rakan-rakan yang melakukan sesuatu aktiviti sudah tentu akan memotivasikan mereka melakukan aktiviti tersebut. Sistem pendidikan ini juga akan merangsang perkembangan mental mereka apabila mereka belajar mengenali objek, warna, cara-cara melakukan sesuatu aktiviti tersebut dan sebagainya pada masa yang sama. Kemahiran sosial mereka juga akan berkembang apabila berinteraksi dengan rakan-rakan selain konduktor dan fasilitator.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Pendidikan pada 26 Jun 2011

12 Jun 2011

Renang & Terapi Lain

Renang atau hydrotherapy boleh dianggap sebagai salah satu jenis fisioterapi. Ia akan memanfaatkan semua individu palsi serebrum lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengalami tahap ketidakupayaan yang teruk.

Renang akan membantu mereka dalam pelbagai aspek seperti membolehkan pergerakan bebas, mengurangkan ketegangan otot, membina kekuatan otot, mengurangkan tekanan pada badan akibat tarikan grativiti dan mengurangkan berat badan. Semasa dalam air, mereka boleh bergerak dengan lebih mudah dan bebas, di mana mereka mungkin sukar atau langsung tidak berupaya melakukannya semasa berada di darat. Semasa berada dalam air, mereka boleh dibimbing melakukan pelbagai aktiviti yang boleh membantu perkembangan motor kasar mereka seperti berdiri, berjalan dan menepuk air dengan tangan atau kaki. Berenang dalam air suam atau panas juga dapat mengurangkan ketegangan dan kesakitan otot.


Selain itu, terdapat juga terapi atau rawatan alternatif lain yang boleh membantu individu-individu palsi serebrum. Contohnya, hipotherapy, sensory integration therapy, play therapy, behavioural therapy, music and dance therapy, suit therapy, hyperbaric oxygen therapy dan neural stem cell therapy. Ada antara terapi atau rawatan alternatif itu hanya diamalkan di negara-negara tertentu dan belum berkembang ke seluruh dunia. Ada juga yang masih baru diperkenalkan dan mungkin masih dalam kajian akan keberkesanannya.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Pendidikan Konduktif pada 19 Jun 2011

05 Jun 2011

Pembedahan

Adakalanya sesetengah individu palsi serebrum akan disarankan menjalani pembedahan bagi menangani masalah-masalah tertentu seperti masalah sistem rangka dan ketegangan otot yang terlampau tinggi selain meransang perkembangan otot yang lebih baik.

Pembedahan yang berkaitan dengan sistem rangka mungkin disarankan agar seseorang itu dapat duduk dengan lebih tegak, berjalan dengan lebih baik atau mengalami pertumbuhan atau perkembangan otot yang lebih baik. Pembedahan ke atas tulang belakang mungkin dilakukan untuk meluruskan tulang belakang yang bengkok. Sesetengah pembedahan disarankan agar dapat memudahkan seseorang itu menggunakan alat bantuan pergerakan seperti kerusi roda.

Tenotomy merupakan suatu pembedahan yang bertujuan mengurangkan ketegangan otot yang terlampau tinggi. Dalam pembedahan ini, tendon pada otot kaki khususnya yang mengalami ketegangan terlampau tinggi akan dipotong dan kemudian bahagian kaki itu (atau tangan) akan dibalut dengan simen atau cast dalam keadaan yang ingin dibetulkan seperti diluruskan atau dipanjangkannya. Selepas berehat beberapa lama, seseorang itu dikehendaki menjalani sesi fisioterapi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan kaki (atau tangan) yang diperbetulkan. Selepas itu, simen atau cast tersebut akan dibuka.

Selain itu, ada sesetengah individu palsi serebrum yang mengalami epilepsi akan dinasihatkan menjalani pembedahan untuk mengurangkan atau mengelakkan serangan epilepsi. Hal ini kerana masalah epilepsi yang dialami oleh mereka itu biasanya tidak dapat dikawal dengan baik melalui pengambilan ubat saja. Individu-individu palsi serebrum yang mengalami masalah penglihatan terutamanya strabismus pula akan dinasihatkan menjalani pembedahan untuk mengelakkan double vision.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Renang & Terapi Lain pada 12 Jun 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...