Pendidikan Konduktif (dipanggil Conductive Education dalam bahasa Inggeris) merupakan suatu sistem pendidikan bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa yang mengalami ketidakupayaan yang melibatkan motor kasar dan motor halus akibat daripada kecederaan pada sistem saraf seperti palsi serebrum dan angin ahmar atau strok. Sistem pendidikan ini diperkenalkan oleh Dr. Andras Peto pada tahun 1940-an di Hungary.
Sistem pendidikan ini berasaskan pandangan bahawa masalah kemahiran motor yang dihadapi seseorang bukan hanya menjejaskan perkembangan motornya saja, tetapi masalah tersebut juga akan menjejaskan dirinya untuk mempelajari sesuatu yang penting demi perkembangan kemahiran-kemahiran diri yang lain. Oleh itu, sistem ini menggunakan pendekatan yang menekankan perkembangan holistik seseorang yang merangkumi perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sosial; berbanding dengan hanya tertumpu pada perkembangan fizikal atau motor seseorang itu.
Sistem pendidikan ini merujuk kepada proses pembelajaran seseorang yang mengalami masalah kemahiran motor dalam menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti menguling ke arah sesuatu khususnya alat permainan, duduk dan memanipulasikan alat permainan atau melakukan sesuatu, berjalan ke sesuatu tempat, potty training, membersihkan diri, menyuap diri sendiri makanan dan minuman, dan sebagainya. Seseorang itu akan didorong untuk menangani masalah kemahiran motornya demi melakukan aktiviti-aktiviti tersebut. Hal ini seterusnya akan mendorong seseorang itu hidup berdikari dalam masyarakat.
Pendidikan ini melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai tahap ketidakupayaan yang hampir sama, seorang konduktor dan beberapa orang fasilitator. Seseorang konduktor itu akan merancang satu siri aktiviti yang penting bagi kumpulan kanak-kanak itu dengan berdasarkan umur dan tahap ketidakupayaan mereka. Kemudian konduktor itu akan mengajar kumpulan kanak-kanak itu melakukan aktiviti-aktiviti yang dirancang itu. Contohnya, mereka akan diminta mencapai sesuatu dan meletakkannya pada alat bantuan berjalan mereka, bangun dari tempat duduk, berjalan ke arah sesuatu tempat untuk meletakkan atau menyimpan alat permainan tersebut. Mereka masing-masing akan cuba melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dengan bimbingan fasilatator yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga atau guru. Lagu yang bersesuaian dengan aktiviti-aktiviti yang sedang dilakukan akan dinyanyikan supaya mereka boleh melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dengan gembira. Aktiviti-aktiviti ini akan dilakukan setiap hari berdasarkan pandangan bahawa sesuatu kemahiran akan dipelajari dan dikuasai apabila dilakukan secara berterusan.
Melalui pendidikan ini, mereka bukan saja akan berlatih kemahiran-kemahiran motor seperti beralih posisi daripada duduk kepada berdiri; berjalan dengan sokongan; mencapai, mengenggam dan meletakkan sesuatu pada tempat tertentu; dan sebagainya, tetapi mereka juga mempelajari cara-cara melakukan sesuatu aktiviti atau menyelesaikan masalah-masalah harian mereka. Mereka juga akan lebih bermotivasi berlatih kemahiran-kemahiran motor apabila diminta melakukan aktiviti yang bermakna seperti pergi menyimpan sesuatu di tempat yang dikhaskan. Selain itu, kehadiran rakan-rakan yang melakukan sesuatu aktiviti sudah tentu akan memotivasikan mereka melakukan aktiviti tersebut. Sistem pendidikan ini juga akan merangsang perkembangan mental mereka apabila mereka belajar mengenali objek, warna, cara-cara melakukan sesuatu aktiviti tersebut dan sebagainya pada masa yang sama. Kemahiran sosial mereka juga akan berkembang apabila berinteraksi dengan rakan-rakan selain konduktor dan fasilitator.
Ikuti catatan seterusnya bertajuk Pendidikan pada 26 Jun 2011
saya ada seorg anak skrg berumur setahun sebulan,semasa umur dia 3bln dia doktor sah kan dia kena pnyakit menigitis dan dia koma selama 2mggu..skrg keadaan dia lembik seluruh anggota badan..saya nk tahu mcm mn cara rawatan jika saya nk bt rawatan untuk anak saya.
BalasPadamMaaf kerana lambat balas. Anda boleh membawa anak anda ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Anda boleh juga bawa anak anda ke Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy untuk membuat pemeriksaan sekiranya anda tinggal di Pg, KL atau Johor. Dengan ini, anak anda boleh untuk mendapatkan rawatan terapi sekiranya dia ada sebarang masalah. Anda harus lihat apa rawatan/exercise yang jurupulih buat terhadap anak anda dan buat untuknya setiap hari di rumah. Exercise yang berterusan dan konsisten adalah sangat penting. Hubungi saya sekiranya nak tanya apa-apa.
BalasPadam