Individu-individu palsi serebrum yang mengalami tahap ketidakupayaan lebih teruk tetap boleh melibatkan diri dalam sukan. Mereka boleh mengambil bahagian dalam sejenis sukan yang dipanggil sebagai boccia. Boccia merupakan sejenis sukan yang direka khusus bagi individu-individu yang mengalami palsi serebrum atau neurological disorder lain, yang tahap ketidakupayaan mereka adalah lebih teruk di mana pergerakan kedua-dua tangan dan kaki mereka terjejas.
Gelanggang & Bola
Boccia merupakan sejenis sukan yang seolah-olah seperti lawn ball tetapi bermain di dalam bangunan. Ia dimainkan dalam gelanggang yang bersaiz 12.5m X 6m dan permukaan gelanggangnya mestilah rata, keras dan licin. Bola boccia pula diperbuat daripada leather dengan berat lebih kurang 275g dan ukuran lilitan lebih kurang 270mm. Setiap set bola terdiri daripada 6 biji bola merah dan 6 biji bola biru serta sebiji bola putih yang dinamakan jack ball. Bola-bola itu juga mempunyai tahap kekerasan yang berlainan.
Kategori Permain
Pemain-pemain sukan ini dibahagikan kepada empat kategori dengan berdasarkan tahap ketidakupayaan mereka iaitu:
- BC1 - pemain palsi serebrum yang berupaya membaling bola dengan tangan atau menendang bola dengan kaki, tetapi memerlukan seseorang pembantu untuk menolak kerusi roda dan memberikannya bola apabila dimintanya. Pembantu tersebut mesti berada di belakang iaitu di luar kotak atau kawasan pemain itu.
- BC2 - pemain palsi serebrum yang berupaya membaling bola dengan tangan. Keadaan fizikal seseorang itu adalah lebih baik daripada pemain BC1 dan bermain sendiri tanpa pembantu.
- BC3 - pemain yang mengalami masalah pergerakan yang agak teruk. Seseorang itu tidak berkeupayaan untuk memegang, membaling atau menendang bola. Oleh itu, dia akan bermain dengan menggunakan ramp dan mungkin juga assistive device lain seperti topi yang khas. Dia akan dibantu oleh seorang pembantu yang berada dalam kotak atau kawasannya sepanjang masa. Pembantu itu akan membantunya untuk menolak kerusi roda, mengerakkan ramp dan meletakkan bola pada ramp, atas arahan pemain itu.
- BC4 - pemain yang mengalami neurological disorder yang lain selain palsi serebrum. Seseorang itu mengalami masalah pergerakan pada kedua-dua tangan dan kaki. Dia berupaya membaling bola dengan tangan dan bermain sendiri tanpa bantuan.
Cara-Cara Bermain
Dalam pemainan boccia, pemain-pemain akan bertanding secara individu, berpasangan atau berpasukan tanpa mengira jantina. Mereka semua akan berada dalam kawasan atau kotak masing-masing yang berukuran 2.5m X 1.0m dan akan menggunakan kerusi roda sepanjang permainan berlangsung. Semua pemain akan bermain secara individu mengikut kategori masing-masing. Selain bermain secara individu, atlet-atlet yang dikategorikan dalam BC3 dan BC4 juga akan bertanding secara berpasangan mengikut kategori masing-masing. Manakala atlet-atlet BC1 dan BC2 pula akan membentuk pasukan di mana setiap pasukan perlu mempunyai seorang pemain BC1 dengan dua orang pemain BC2 ataupun dua orang pemain BC1 dengan seorang pemain BC2. Mereka masing-masing diberi tempoh masa tertentu untuk bermain keenam-enam bola mereka berdasarkan kategori dan jenis permainan.
Terdapat 4 pusingan dalam setiap permainan secara individu dan kedua-dua pemain masing-masing akan diberi 6 biji bola sama ada merah atau biru dalam setiap pusingan. Pemainan secara berpasangan juga terdiri daripada 4 pusingan tetapi setiap pemain hanya akan diberi 3 biji bola bagi setiap pusingan. Manakala bagi permainan secara berpasukan, setiap pemain hanya akan diberi dua biji bola bagi setiap pusingan dan mereka akan bermain sebanyak 6 pusingan.
Matlamat permainan ini ialah pemain-pemain mesti membaling, menendang atau menguling bola-bola supaya bola-bola mereka itu lebih dekat dengan jack ball berbanding dengan bola-bola penentangnya. Setiap pusingan dimulakan dengan salah seorang pemain membaling jack ball dan diikuti dengan bola pertamanya. Kemudian, penentangnya akan membaling bola pertamanya. Seterusnya, pemain (atau salah seorang pemain dalam sesuatu pasangan atau pasukan) yang bolanya lebih jauh dengan jack ball berbanding bola penentangnya, akan membaling bola seterusnya sehingga bola mereka itu lebih dekat dengan jack ball. Mereka akan terus bermain sehingga kesemua bola mereka habis dimainkan. Poin akan diambil pada penghujung setiap pusingan berdasarkan bilangan bola (merah atau biru) yang lebih dekat daripada bola-bola penentang mereka. Jumlah poin akan dikira bagi kesemua 4 atau 6 pusingan dan mereka yang mendapat lebih banyak jumlah poin merupakan pemenang dalam sesuatu permainan itu.
Ikuti catatan seterusnya yang memaparkan video klip Permainan Boccia pada 29 Januari 2012
SELAMAT TAHUN BARU CINA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan