Segelintir kecil kami telah mengikuti pelajaran di sekolah biasa. Setelah menamatkan pelajaran di sekolah biasa, ada antara kami melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT). Seperti yang kita ketahui, suasana dan kehidupan di sekolah adalah berbeza dengan suasana dan kehidupan di IPT. Pelajar IPT perlu lebih berdikari untuk mengikuti sistem pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada sekolah.
Bagi individu palsi serebrum khususnya yang memerlukan bantuan dalam sesetengah aktiviti kehidupan, kami perlu menghadapi cabaran yang lebih mencabar berbanding mereka yang upaya. Antaranya,
- Pemilihan IPT & Hidup Berdikari - Lokasi IPT khususnya IPTA merupakan faktor yang sangat penting bagi sesetengah kami dalam permilihan IPT. Kami mungkin terpaksa memilih IPT yang berdekatan dengan keluarga kami walaupun mempunyai keinginan untuk mengikuti kursus tertentu di IPT lain. Hal ini kerana kami memerlukan bantuan orang lain dalam sesetengah aktiviti kehidupan. Ada juga antara kami berkeinginan belajar di luar negeri dan yakin dapat hidup berdikari, tetapi ibu bapa kami mungkin tidak bersetuju kerana mereka bimbang akan kami yang sukar melakukan sesuatu.
- Aksesibiliti - Kami perlu memilih IPT yang menyediakan aksesibiliti yang mesra OKU seperti tandas OKU, railing, ram, laluan masuk ke dalam bilik kuliah dan tutorial yang mesra OKU dan sebagainya. Hal ini amat penting bagi membolehkan kami menjalani kehidupan harian dan belajar.
- Mobiliti - Di IPT, para pelajar perlu bergerak dari satu kelas ke satu kelas yang lain dan juga dari satu bangunan ke satu bangunan yang lain untuk belajar. Selain kuliah dan tutorial, para pelajar juga perlu ke tempat-tempat lain dalam kampus seperti kafeteria, bank, perpustakaan, kedai buku, kedai fotostat, bilik pensyarah, pejabat hal ehwal pelajar yang terletak pada bangunan-bangunan yang berlainan untuk pelbagai urusan. Hal ini sememangnya menjadi cabaran bagi kami yang menghadapi masalah pergerakan.
- Aktiviti-aktiviti kehidupan - Bagi kami yang tinggal dalam kampus, kami mungkin menghadapi kesukaran untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti membasuh dan menyidai pakaian, membuat minuman, pergi ke kafeteria untuk membeli makanan dan sebagainya.
- Pembelajaran - Kami yang menghadapi masalah pergerakan tangan tidak dapat menyalin nota semasa kuliah dan tidak sempat membuat sebarang catatan semasa perbincangan.
Walaubagaimanapun, sokongan kuat pihak IPT seperti menyediakan aksesibiliti OKU, para pensyarah yang prihatin, rakan-rakan yang baik hati dan sudi membantu serta sokongan keluarga adalah penting untuk membantu kami menghadapi cabaran-cabaran tersebut. Selain sokongan mereka, kami sendiri juga perlu mempunyai semangat yang tinggi serta tidak mudah putus asa demi meneruskan pengajian di IPT.
Selain itu, ada juga antara kami yang mengikuti pelajaran di sekolah khas mempunyai keinginan untuk belajar di IPT khususnya kolej demi masa depan yang lebih baik. Namun, kami sukar mencari kolej yang bersesuaian kerana kami tidak mempunyai sijil PMR dan SPM yang merupakan salah satu syarat kemasukan bagi kebanyakan kolej. Kami bukannya tidak mahu menduduki peperiksaan tersebut, tetapi kami tidak berpeluang ke sekolah biasa untuk mendapat pendidikan menengah atas ketidakupayaan fizikal kami, masalah aksesibiliti, masalah pengangkutan dan masalah keluarga, walaupun kami berpotensi dalam akademik. Ada antara kami ini cuba mendapatkan guru tuisyen dan belajar sendiri atau belajar di sekolah swasta untuk menduduki peperiksaan PMR dan SPM agar dapat meneruskan pelajaran di kolej tetapi ia amat sukar. Hal ini semua amat menyedihkan kami dan menjejaskan masa depan kami.
Ikuti catatan seterusnya bertajuk James Ng Memperolehi Diploma di Methodist Pilley Institute pada 13 November 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan