12 Februari 2012

Memandu

Anda pasti sudah biasa melihat pemandu atau penunggang OKU semasa berada di jalan raya. Sememangnya terdapat sesetengah OKU yang berkeupayaan untuk memandu (atau menunggang) dan keupayaan mereka ini adalah bergantung kepada jenis dan tahap ketidakupayaan mereka selain aspek-aspek lain seperti sosioekonomi dan keyakinan mereka. Mereka yang berkeupayaan untuk memandu ini akan menggunakan kenderaan yang bersesuaian dengan mereka termasuk menggunakan kereta atau motosikal khas yang diubahsuaikan selain kereta automatik. Kenderaan yang diubahsuaikan merangkumi motosikal empat roda dan kereta serta motosikal yang membolehkan seseorang OKU memandu dengan menggunakan tangan saja.

Untuk mendapatkan lesen memandu, terlebih dahulu seseorang OKU perlu mendapatkan surat kelulusan yang mengesahkan dirinya betul-betul berkeupayaan untuk memandu dari hospital kerajaan. Doktor akan membuat pemeriksaan atau penilaian terhadap OKU itu untuk memastikan sama dirinya berkeupayaan untuk memandu atau tidak. Doktor mungkin juga akan merujuknya kepada ahli terapi untuk membuat penilaian terhadapnya dalam melakukan aktiviti tertentu yang memainkan peranan penting untuk memandu seperti memutar stereng.

Selepas itu, OKU itu perlu memberi surat pengesahan tersebut kepada pihak sekolah memandu. Mereka akan membantunya mendapatkan lesen L. Kemudian, dia perlu menduduki ujian undang-undang selepas mengikuti kursus tersebut bersama-sama pelajar-pelajar memandu yang lain. Selepas lulus ujian tersebut, dia akan belajar memandu dan mengambil ujian memandu seperti orang lain. Bagaimanapun, dia dibenarkan menggunakan kenderaan yang diubahsuai bersesuaian dengan keperluannya semasa belajar dan juga mengambil ujian. Selain itu, saiz tempat letak kereta juga akan diselaraskan mengikut saiz kenderaan yang digunakannya.

Terdapat juga individu palsi serebrum yang memandu. Anda boleh menonton video klip yang memaparkan seorang pemuda palsi serebrum memandu kereta di sini.

Dalam video klip tersebut, anda pasti akan terkejut apabila menyaksikan keupayaannya untuk memandu sungguhpun beliau mengalami masalah untuk mengawal pergerakan tangan selain menggunakan kerusi roda. Beliau merupakan seorang pelajar universiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...