Sungguhpun mengalami ketidakupayaan, OKU termasuk individu palsi serebrum juga mempunyai perasaan cinta terhadap seseorang lelaki atau perempuan, seperti orang lain juga. Kebanyakan kami tidak mahu hidup keseorangan sepanjang masa. Kami ingin mengalami alam pencintaan yang biasanya mendatangkan kegembiraan dan kebahagiaan kepada kedua-dua orang lelaki dan perempuan sungguhpun adakalanya ia mengundang kesedihan dan kesengsaraan kepada salah satu atau kedua-dua pihak. Kami ingin diri kami dikasihi dan dicintai oleh seseorang teman hidup dan sebaliknya. Kami ingin seseorang yang boleh berkongsi suka duka bersama dan saling menyokong antara satu sama lain.
Sememangnya tidak boleh dinafikan terdapat pelbagai pandangan masyarakat terhadap percintaan OKU. Ibu bapa kepada OKU, ibu bapa seseorang upaya yang jatuh cinta pada OKU, ahli-ahli keluarga lain dan masyarakat umum serta OKU sendiri masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Ada yang berpandangan positif seperti OKU juga harus bercinta dan berkahwin seperti orang lain. Ada ibu bapa kepada OKU mungkin menyokong anaknya bercinta dan ada yang sebaliknya.
Namun, rasanya tidak silap jika saya menyatakan bahawa kebanyakan orang mungkin memberi pandangan negatif. Pada pandangan mereka, kami ini bukan seorang lelaki atau perempuan yang ideal atas sebab ketidakupayaan yang kami alami. Kami ini sukar menjalani aktiviti-aktiviti kehidupan dan membebankan. Tanggapan negatif ini menyebabkan kebanyakan orang tidak terfikir untuk memilih kami sebagai teman mereka. Bukan itu saja, tanggapan negatif ini mungkin telah diinternalisasikan dalam diri sesetengah OKU. Hal ini menyebabkan sesetengah kami sendiri mempunyai pandangan negatif terhadap percintaan dan perkahwinan. Kami mungkin tidak berani menaruh perasaan cinta terhadap seseorang kerana berpendapat bahawa tiada orang upaya yang mungkin jatuh cinta pada kami lebih-lebih bagi kami yang mengalami tahap ketidakupayaan yang agak teruk. Apatah lagi sesetengah masyarakat mungkin juga akan memberi pandangan negatif kepada seseorang upaya yang bercinta dengan OKU. Ibu bapa mereka mungkin juga berpandangan sebegitu dan melarang mereka bercinta dengan OKU.
Tanggapan negatif ini mungkin menyebabkan ramai antara kami terpaksa hidup keseorangan. Kami mungkin tidak dapat menemui seseorang teman hidup. Kami mungkin terpaksa mengawal mahupun menidakkan perasaan cinta sungguhpun mempunyai naluri tersebut. Hal ini pasti boleh mendatangkan tekanan pada diri kami. Dari sudut yang lain, ada antara kami bercinta dengan insan yang upaya. Ada juga yang bercinta dengan OKU lain baik yang masing-masing mempunyai ketidakupayaan yang sama atau berlainan.
Walaubagaimanapun, perasaan cinta antara dua insan adalah sesuatu yang sangat sukar dinidakkan dengan begitu saja. Asalkan wujudnya perasaan cinta yang sangat kukuh, sesuatu pasangan tetap akan bersama biarpun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan tanggapan negatif orang lain. Hal ini sememangnya terbukti memandangkan ada OKU yang berumah tangga dan hidup bahagia.
Mari klip di sini mengikuti satu dokumentasi yang bertajuk "Disabled and Looking For Love" yang memaparkan kisah cinta beberapa OKU termasuk individu palsi serebrum.
jgn patah semangat...jika jodoh itu ada, perkahwinan tetap akn berlaku dgn izin Allah......
BalasPadamtq CAHAYA atas kata semangat kpd kami...
BalasPadam