15 April 2012

Tandas OKU & Bekas Buangan

Pembuangan air kecil atau besar merupakan salah satu proses fisiologi yang penting. Secara puratanya, kita akan membuang air kencing lebih kurang lapan kali sehari. Kebanyakan kita boleh pergi ke tandas dan masuk ke dalam tandas dengan begitu saja untuk memenuhi keperluan fisiologi ini.

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah bagi OKU yang berkerusi roda untuk pergi ke tandas. Tandas OKU yang memenuhi spesifikasi tertentu adalah sangat penting bagi mereka. Tandas OKU haruslah mempunyai pintu yang cukup luas untuk membolehkan mereka masuk ke dalam tandas; ruang kosong yang cukup luas untuk membolehkan mereka menggerakkan kerusi roda; pemegang-pemegang (grab bars) pada kedudukan yang bersesuaian untuk memberi mereka sebagai sokongan ketika cuba mengalihkan diri mereka daripada kerusi roda ke mangkuk tandas dan sebaliknya; dan kelengkapan tandas pada kedudukan yang rendah untuk membolehkan mereka mencapai dan menggunakannya. (klip di sini untuk keterangan terperinci tentang spesifikasi tandas OKU)

Pemindahan diri daripada kerusi roda ke mangkuk tandas adalah sangat sukar atau mustahil bagi sesetengah OKU atau individu palsi serebrum yang mengalami tahap ketidakupayaan yang teruk. Untuk memindahkan diri, seseorang itu perlu mengumpulkan sepenuh tenaganya untuk cuba berdiri daripada duduk atas kerusi roda, menggerakkan kaki dan dirinya untuk mendekati mangkuk tandas lalu duduk pada mangkuk tandas tersebut. Sekiranya seseorang OKU tidak berupaya berdiri, dia sekurang-kurangnya perlu mempunyai kekuatan tangan yang tinggi untuk menganjakkan seluruh badannya dari kerusi roda ke mangkuk tandas. Sesetengah individu palsi serebrum tidak dapat melakukan pergerakan ini kerana masalah pergerakan tangan dan kaki mereka.

Mereka terpaksa bergantung pada orang lain untuk membantu mereka ke tandas. Namun, bukan mudah bagi seseorang untuk memapah mereka yang sudah besar malah dewasa. Apatah lagi mereka mungkin berbadan besar atau terasa berat untuk dipapah akibat daripada ketegangan otot yang tinggi. Hal ini sememangnya membahayakan kedua-dua mereka. Oleh itu sesetengah mereka terpaksa menggunakan bekas air buangan seperti bedpan dan urinal. Mereka perlu dibantu untuk membuang air dalam bekas dan kemudian dibantu mengosongkan serta membersihkan bekas tersebut.



Sungguhpun sesetengah mereka berupaya memindahkan diri mereka daripada kerusi roda ke mangkuk tandas, mereka memerlukan banyak tenaga dan mengambil masa yang agak lama untuk melakukannya. Hal ini meletihkan mereka apatah lagi mereka perlu ke tandas beberapa kali setiap hari. Oleh itu, adakalanya mereka juga terpaksa menggunakan bekas tersebut.

Apabila pergi ke mana-mana seperti pusat beli-belah, mereka yang memerlukan bedpan atau urinal perlu membawa bersama-sama mereka. Ketidakselesaan mungkin timbul pada diri mereka apabila dipandang aneh oleh sesetengah orang. Seharusnya orang ramai tidak berkelakuan sebegitu kerana bekas tersebut hanya merupakan salah satu alat keperluan bagi mereka. OKU khususnya yang berkerusi roda, baik yang perlu menggunakan bekas tersebut atau tidak, bergantung sepenuhnya kepada tandas yang mesra OKU untuk memenuhi keperluan semulajadi ini. Sememangnya tidak dinafikan bahawa banyak pihak telah menyediakan tandas OKU, namun kebanyakan tandas OKU tersebut tidak dapat digunakan oleh OKU kerana ia tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan. Bukan itu saja, ada juga tandas OKU yang disalahgunakan oleh orang awam yang upaya dan ada pula yang dijadikan stor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...