20 Februari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Sensori dan Masalah Persepsi

Individu palsi serebrum berkemungkinan menghadapi masalah sensori dan masalah persepsi. Ada kanak-kanak palsi serebrum yang tidak peka terhadap sentuhan atau kesakitan. Mereka mungkin juga tidak dapat mengenalpasti akan sesuatu objek melalui sentuhan. Contohnya, mereka menghadapi masalah untuk mengenalpasti sama ada objek yang dipegang itu merupakan sebiji bola yang keras, sesuatu permainan yang lembut atau objek lain, sekiranya tidak melihat pada objek tersebut.

Ada yang menghadapi kesukaran untuk mempersepsikan atau mentafsir maklumat-maklumat yang diterima oleh deria-deria terutamanya dalam bentuk cahaya (penglihatan) dan bunyi (pendengaran). Hal ini disebabkan oleh kecacatan otak yang tidak dapat mengintepretasikan maklumat-maklumat yang diterima oleh deria-deria. Hal ini berbeza daripada masalah penglihatan atan masalah pendengaran. Seseorang yang menghadapi masalah persepsi visual akan menghadapi kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menamakan objek yang dia nampak. Dia tahu bagaimana objek itu dipanggil tetapi dia tidak dapat atau lambat berfikir akan nama itu. Satu contoh lain ialah apabila dia diminta mencari atau mengambil sesuatu objek. Adakalanya dia nampak objek itu yang berada di depan matanya, tetapi tidak menyedari objek tersebut merupakan objek yang dicarinya lalu menyatakan bahawa dia tidak dapat mencari objek tersebut. Begitu juga dengan masalah persepsi audio. Seseorang itu dapat mendengar kita bercakap dengannya, tetapi otaknya tidak dapat atau lambat memproses apa yang kita cakap itu kepada maklumat yang berguna. Oleh itu, dia tidak atau lambat memberi respon kepada kita.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Intelektual dan Masalah Pembelajaran pada 27 Februari 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...