17 Julai 2011

Carta Komunikasi

Terdapat juga individu palsi serebrum yang bukan saja tidak berupaya untuk bertutur, tetapi juga tidak boleh berkomunikasi melalui penggunaan makaton atas sebab masalah pergerakan tangan termasuk jemari mereka. Mereka juga tidak berupaya atau sukar untuk menulis. Mereka ini mungkin boleh diajar berkomunikasi melalui penggunaan carta komunikasi.

Carta komunikasi merupakan suatu carta yang mengandungi koleksi simbol yang disertai perkataan masing-masing dan nombor serta abjad. Simbol-simbol tersebut merupakan kata-kata yang biasa digunakan dalam kehidupan harian seseorang individu palsi serebrum. Ia termasuklah aktiviti-aktiviti hariannya seperti makan, minum, tandas, baca, fisioterapi (Physiotherapy - PT) dan terapi cara kerja (Occupational Therapy - OT); panggilan seseorang seperti saya, bapa, cikgu dan kamu; mood dan kesihatan seseorang seperti gembira, sedih, marah dan sakit; ucapan seperti selamat pagi, terima kasih dan minta maaf; hari dan waktu seperti semalam, hari ini, esok, masa, pagi dan petang; objek-objek yang berkaitan seperti kereta, bas dan roti; jawapan ya dan tidak; dan sebagainya.


Carta komunikasi itu akan dilakar mengikut keperluan seseorang individu palsi serebrum dan juga keupayaannya untuk memahami serta menggunakan kata-kata tertentu untuk berkomunikasi. Jurupulih terapi pertuturan akan mengajar seseorang kanak-kanak palsi serebrum menggunakan carta komunikasi secara perlahan-lahan dan berperingkat-peringkat. Pada mulanya, seseorang itu akan diajar menggunakan carta komunikasi ringkas yang hanya terdiri daripada beberapa simbol atau gambar yang menunjukkan komunikasi yang sangat mudah seperti emak, bapa, makan, minum, tandas, betul dan salah. Simbol-simbol itu akan bertambah perlahan-lahan setelah seseorang itu menguasai penggunaan perkataan-perkataan yang terdapat pada carta komunikasinya. Abjad dan nombor juga akan dimasukkan dalam carta komunikasi seseorang itu setelah dia mengenali nombor dan abjad serta ejaan. Dengan adanya abjad dan nombor, seseorang itu dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan di mana dia boleh mengeja sesuatu kata yang tidak terdapat pada carta komunikasinya.


Seseorang palsi serebrum yang berkomunikasi melalui carta komunikasi akan berkomunikasi dengan orang lain dengan mendengar apa yang dicakap oleh orang itu dan menjawab atau menanya orang itu dengan menunjukkan simbol demi simbol yang mengambarkan apa yang ingin disuarakannya. Apabila carta komunikasinya tidak ada simbol yang mengambarkan sesuatu yang ingin disuarakan, dia boleh menggunakan abjad untuk mengeja atau menunjuk huruf awalan atau singkatan sesuatu perkataan atau frasa. Contohnya, dia menunjuk simbol atau urutan simbol 'baik' atau 'sakit' apabila ditanya khabar dan menanya orang itu balik dengan menunjuk simbol 'kamu'; menunjuk 'kakak', 'pergi', 'k', 'l', 'kelmarin' apabila ingin memberitahu orang itu bahawa kakaknya pergi Kuala Lumpur (KL) kelmarin; dan menunjuk 'nama', 'adik', 'lelaki', 'saya', 'h', 'a', 's', 's', 'a', 'n' apabila ingin memberitahu bahawa adik lelakinya bernama Hassan.

Adakalanya seseorang itu mungkin tidak pasti apa yang disuarakan atau dijawabnya kerana dia mungkin hanya menunjukkan huruf awalan sesuatu perkataan dan terdapat lebih daripada satu perkataan yang bermula dengan huruf tersebut. Contohnya, seseorang tidak pasti apa yang dia maksudkan dengan huruf 'p' apabila dia menunjukkan simbol 'cuti', 'saya', 'pergi', 'p'. Dia hanya menunjukkan huruf 'p' mungkin kerana dia kurang tahu mengeja perkataan tersebut atau ingin menjimatkan masa untuk mengeja. Oleh itu, seseorang itu boleh cuba meneka tempat yang bermula dengan huruf 'p' satu demi satu dan menanyanya sama ada tekaan itu betul atau tidak. Dia akan menunjukkan simbol sama ada 'betul' atau 'salah' terhadap tekaan itu dan seseorang itu boleh terus teka sehingga mendapat jawapan yang betul atau menanyanya soalan yang dapat membantu tekaan itu seperti 'adakah kamu pergi luar negeri?' atau 'adakah 'p' menunjukkan tempat dalam negeri ini'.

Hanya individu-individu palsi serebrum yang dapat memahami maksud simbol-simbol yang berserta kata-katanya boleh menggunakan carta komunikasi terutamanya yang kompleks. Individu-individu palsi serebrum tahap sangat teruk yang bukan saja tidak boleh bertutur, tetapi juga tidak berupaya duduk tegak dan/atau mempunyai tahap kognitif yang sangat rendah tidak berupaya menggunakan carta komunikasi. Selain individu palsi serebrum, orang lain seperti pesakit yang tidak boleh menulis dan bercakap buat sementara waktu juga boleh menggunakan carta komunikasi untuk berkomunikasi tentang keperluan semasa, perasaan atau kesihatannya.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Alat-Alat Adaptasi / Assistive Technology pada 24 Julai 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...