31 Julai 2011

Peralatan Khas untuk Makan & Minum

Ada sebilangan kecil individu palsi serebrum khususnya yang mengalami palsi serebrum jenis spastik diplegia tidak mengalami sebarang masalah untuk menyuap sendiri. Mereka boleh memakan dengan baik seperti orang lain. Ada yang berupaya menyuap sendiri dengan menggunakan peralatan yang biasa tetapi agak sukar sedikit akibat daripada masalah pergerakan yang dialami. Tahap kesukaran yang dialami oleh seseorang itu adalah berbeza antara satu sama lain.

Ada yang memerlukan bantuan seseorang untuk menyuap mereka. Hal ini kerana mereka mungkin tidak berupaya memegang sudu biasa dengan pemegang yang kecil; mengalami ketegangan otot yang terlalu tinggi sehingga tidak berupaya menggerakkan tangan ke arah makanan, mengambil makanan dengan sudu dan membawa sudu bersama makanan ke mulut; tidak dapat mengawal pergerakan tangan semasa makan; tidak dapat duduk dengan baik dan lain-lain. Walaubagaimanapun, sebilangan kecil mereka berupaya menyuap makanan sendiri dengan adanya peralatan khas.

Contohnya, penggunaan pengalas yang tidak licin untuk mengalas pinggan atau meja khas dapat menghalang pingan daripada tergerak-gerak semasa seseorang mengambil makanan dari pingan tersebut akibat daripada pergerakan tangan yang abnormal atau tidak terkawal; sudu atau garpu yang mempunyai pemegang plastik yang besar untuk memudahkan seseorang itu untuk memegangnya; dan bentuk sudu atau garpu yang direka khas untuk memudahkan seseorang mengambil makanan dan memasukkannya ke dalam mulut; selain menggunakan pingan yang bersesuaian.

Pengalas (Dycem Non-Slip Mat)



Contoh Sudu/Garpu yang Khas




Ada individu palsi serebrum berupaya meminum air sendiri daripada cawan. Ada pula yang tidak berupaya untuk meminum air daripada cawan dan memerlukan penyedut minuman. Penggunaan cawan yang mempunyai pemegang adalah penting bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan tangan untuk minum. Pemegang cawan itu haruslah besar untuk membolehkan seseorang memegangnya dengan baik. Seboleh-bolehnya cawan itu ringan dan tidak mudah pecah untuk membolehkan seseorang menggunakannya dengan mudah dan selamat. Selain itu, terdapat juga cawan yang direka khas seperti sebahagian pinggir cawan yang berbentuk separuh bulat untuk memudahkan seseorang minum.

Contoh Cawan/Gelas yang Khas




Ikuti catatan seterusnya bertajuk Peralatan yang Membantu Mobiliti pada 7 Ogos 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...