Ada individu palsi serebrum yang berupaya berjalan sendiri. Ada yang memerlukan alat-alat sokongan mobiliti tertentu untuk berjalan khususnya bagi kanak-kanak atau remaja yang masih belajar berjalan. Alat-alat sokongan tersebut termasuklah rollator, walker dan tongkat yang boleh didapati dalam pelbagai jenis dan bentuk serta saiz. Setiap jenis dan bentuk itu mempunyai kegunaan dan kelebihan tersendiri. Pemilihan sesuatu alat sokongan bagi seseorang adalah berdasarkan keperluan atau keadaan fizikalnya dan juga kesesuaiannya.
Adakalanya, sesetengah individu yang berupaya berjalan itu perlu menggunakan kerusi roda pada masa tertentu. Contohnya, semasa mereka berada di luar bangunan yang keadaan jalannya tidak rata, semasa mereka perlu bergerak pantas, atau semasa mereka ingin bergerak pada jarak yang agak jauh atau lama. Penggunaan kerusi roda juga penting bagi kanak-kanak palsi serebrum yang masih belum berupaya berjalan atau yang baru saja mula belajar berjalan. Selain itu, ada yang langsung tidak berupaya untuk berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda buat seumur hidup mereka. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk kerusi roda yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Walaubagaimanapun, secara umumnya kerusi roda boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kerusi roda biasa yang perlu ditolak sendiri atau seseorang dan kerusi roda bermotor yang boleh bergerak sendiri dengan hanya menekan atau mengawal suiznya saja.
Selain itu, sesetengah individu palsi serebrum yang berkerusi roda perlu juga diikat pada pinggang untuk memastikan mereka duduk dengan baik dan juga mengelakkan mereka terjatuh daripada kerusi roda. Ada juga yang kakinya terpaksa diikat pada kerusi roda untuk menghalang pergerakan kaki yang tidak terkawal. Sebilangan kecil mereka juga menggunakan kusyen atau alat sokongan untuk duduk supaya mereka dapat duduk dengan posisi yang betul. Tray mungkin juga dipasang pada kerusi roda untuk membolehkan mereka membuat aktiviti harian seperti belajar, menulis atau menaip dan makan selain meletakkan buku dan juga kedua-dua tangan mereka padanya. Carta komunikasi yang digunakan oleh seseorang juga boleh dilekatkan pada tray untuk memudahkannya berkomunikasi dengan orang lain.
(Gambar-gambar adalah dari laman web www.penang.medical.com.my)
Ikuti catatan seterusnya bertajuk Teknologi Maklumat & Komunikasi Membantu Individu Palsi Serebrum pada 14 Ogos 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan