28 Ogos 2011

Keyguard bagi Papan Kekunci

Sesetengah individu palsi serebrum dan mungkin juga OKU lain menghadapi masalah untuk menaip atau menekan kekunci-kekunci yang diingini dengan tepat. Semasa cuba menaip sesuatu aksara, mereka selalunya akan tertekan kekunci-kekunci yang tidak diingini khususnya yang berhampiran dengan aksara yang ingin ditekan itu, sama ada dengan jari-jari atau tapak tangan. Hal ini disebabkan oleh masalah-masalah pergerakan tangan yang dialami seperti pergerakan yang tidak sengaja, pergerakan yang tidak terkawal atau bergetar-getar dan tidak dapat menstabilkan tangan.

Bagi menangani atau mengurangkan masalah ini, mereka mungkin boleh menggunakan keyguard. Keyguard merupakan satu permukaan plastik yang berbentuk segiempat tepat dan saiznya lebih kurang sama seperti papan kekunci yang digunakan. Permukaannya berlubang-lubang mengikut susun atur kekunci-kekunci pada papan kekunci yang digunakan. Keyguard akan dilekatkan di atas sesuatu papan kekunci itu.



Dengan adanya keyguard, kebanyakan mereka itu boleh menekan kekunci-kekunci atau menaip sesuatu dengan tepat dan mudah. Mereka menekan sesuatu aksara yang diingini dengan memasukkan jari ke dalam lubang yang berkaitan lalu menekan aksara tersebut. Keyguard dapat mengelakkan mereka daripada tertekan kekunci-kekunci lain dengan mudah. Hal ini seterusnya dapat mengurangkan kekecewaan mereka yang selalu tertekan kekunci-kekunci lain sekiranya tidak menggunakan keyguard. Mereka juga boleh meletakkan atau merehatkan tangan mereka pada keyguard semasa menaip.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Single Handed Keyboard pada 4 September 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...