14 Ogos 2011

Teknologi Maklumat & Komunikasi Membantu Individu Palsi Serebrum

Sememangnya tidak dapat dinafikan kehadiran teknologi maklumat dan komunikasi yang dikenali sebagai information technology and communication (ICT) dalam bahasa Inggeris banyak membantu kita dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, pekerjaan, komunikasi dan sebagainya. Golongan kurang upaya termasuk individu-individu palsi serebrum juga dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dengan kewujudan ICT khususnya komputer dan rangkaian internet serta perkakasan komputer yang khas.

Dengan adanya komputer, individu-individu palsi serebrum yang tidak berupaya menulis tetap boleh belajar khususnya membuat latihan dan berkongsi hasil fikiran mereka dalam bentuk tulisan. Mereka yang mengalami kesukaran menulis juga boleh belajar dan bekerja dengan lebih mudah dengan menggunakan komputer. Hasil kerja yang ditaip adalah jauh lebih kemas dan mudah dibaca.

Dengan adanya rangkaian internet, individu-individu palsi serebrum boleh mengakses kepada maklumat dan berita terkini dengan mudah. Mereka khususnya yang mengalami masalah pertuturan juga boleh berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain dengan mudah melalui emel, yahoo messenger, facebook atau jaringan sosial lain. Mereka boleh mengakses pelbagai jenis maklumat dan berkomunikasi dengan orang lain dengan hanya duduk di hadapan monitor dan menggunakan papan kekunci serta tetikus. Dengan itu, mereka berpeluang meningkatkan pengetahuan mereka dan menjalani kehidupan sosial yang lebih baik. Selain itu, mereka juga boleh mengurangkan rasa boring dan tekanan dengan bermain permainan komputer, mendengar lagu, menonton klip video atau youtube dan sebagainya.

Namun begitu, bukan semua individu palsi serebrum berupaya mengakses komputer dengan menggunakan papan kekunci dan tetikus yang biasa dengan mudah. Sebilangan mereka berupaya menggunakan papan kekunci dan tetikus biasa tetapi mengalami kesukaran tertentu untuk menaip atau mengakses komputer dengan pantas seperti orang lain. Ada juga yang sangat sukar atau langsung tidak berupaya menggunakan perkakasan komputer tersebut. Contohnya, tidak berupaya atau sukar memegang tetikus dan mengawal pergerakannya serta menekan butangnya; tidak berupaya mengunjurkan tangan pada papan kekunci dan menekan kekunci-kekunci yang kecil dan rapat antara satu sama lain; sukar melihat aksara pada setiap kekunci pada papan kekunci kerana tulisannya agak kecil; selalu tertekan kekunci-kekunci yang tidak diingini semasa menaip; dan tidak dapat menekan dua kekunci tertentu secara serentak untuk menaip aksara tertentu seperti gabungan kekunci 'shift' dan '1' untuk menaip simbol seruan '!'. Bagaimanapun, perkembangan ICT yang membawa kepada penghasilan perkakasan-perkakasan komputer yang khusus seperti switch, one handed keyboard dan intellikeys telah membolehkan atau memudahkan individu-individu palsi serebrum mengakses komputer. Namun, semua atau kebanyakan perkakasan tersebut hanya dibuat di negara-negara tertentu saja dan dijual pada harga yang agak tinggi.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Manipulasi Corak Kelakuan Papan Kekunci pada 21 Ogos 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...