18 September 2011

Switch Access

Sesetengah individu palsi serebrum mengalami masalah pergerakan tangan yang agak serius. Mereka mengalami masalah untuk mengawal pergerakan tangan mereka. Mereka bukan saja tidak boleh menulis dan menggunakan komputer dengan papan kekunci dan tetikus biasa, tetapi mereka juga tidak dapat menggunakan papan kekunci atau tetikus khas dengan efektif. Walaubagaimanapun, mereka tetap boleh mengakses komputer dan internet dengan menggunakan switch.

Switch access merupakan cara yang paling mudah bagi individu-individu palsi serebrum atau OKU lain yang mengalami pergerakan tangan yang sangat terhad untuk menggunakan komputer. Dari segi fizikal, mereka hanya perlu menekan sesuatu switch. Mereka boleh menekan switch itu dengan tangan, siku, kepala, lutut atau anggota badan lain yang berkeupayaan untuk menekan switch. Untuk menggunakan switch, kita biasanya perlu menginstall perisian yang berkaitan dengannya terlebih dahulu. Selain perisian, switch juga mempunyai aksessorinya iaitu mounting yang memegangnya. Switch boleh digunakan sebagai switch tersendiri, papan kekunci dan tetikus.


Untuk menaip sesuatu huruf atau melakukan sesuatu pergerakan cursor termasuk single click dan double click dengan switch, mereka perlu menekan switch untuk mengaktifkannya terlebih dahulu. Dengan ini, launcher tertentu yang kelihatan seperti on screen keyboard akan dipaparkan pada monitor. Satu skanning akan bergerak dari satu set kekunci ke satu set kekunci yang lain. Masa yang diambil oleh skanning untuk bergerak dari satu set kepada set yang lain boleh diubah berdasarkan keperluan seseorang individu. Mereka mesti memastikan set kekunci yang mana satukah mengandungi kekunci yang diingini. Kemudian, mereka perlu menekan switch apabila skanning itu berada pada set kekunci tersebut. Dengan ini, skanning akan menjadi lebih kecil dan bergerak dari satu subset kekunci ke satu subset kekunci lain yang berada dalam set kekunci yang dipilih itu. Proses ini mungkin diteruskan sekali lagi sehingga skanning itu bergerak dari satu kekunci ke satu kekunci yang lain. Akhirnya, mereka perlu menekan switch sekali lagi untuk memilih kekunci yang diingini itu apabila skanning berada padanya.


Walaupun switch access merupakan satu cara yang paling mudah bagi individu-individu yang mengalami pergerakan tangan yang sangat terhad untuk mengakses komputer, tetapi mereka mesti mempunyai tahap kognitif tertentu. Mereka mesti berkebolehan memahami konsep skanning dan juga menentukan kedudukan kekunci yang diingini pada launcher.

Mereka memerlukan masa yang sangat lama untuk menaip sesuatu atau menggerakkan cursor bagi melakukan sesuatu dengan menggunakan switch. Mereka mungkin hanya dapat menaip beberapa perkataan sahaja dalam masa sejam. Adakalanya, mereka tersilap atau terlewat menekan switch akibat daripada masalah pergerakan atau sebab-sebab lain. Hal ini mungkin boleh menyebabkan mereka berasa kecewa. Walaubagaimanapun, dengan adanya switch, mereka boleh menggunakan komputer, mengakses internet, belajar dan membuat kerja sekolah. Selain itu, kepantasan skanning boleh ditingkatkan dari masa ke semasa apabila seseorang itu telah menguasai penggunaan switch.

Selain single-handed keyboard, intellikeys, keyguard dan switch, terdapat pelbagai perkakasan komputer khas yang lain bagi memenuhi keperluan khas golongan kurang upaya. Contohnya, joystick, eye gaze system, expanded keyboard, mini keyboard dan sebagainya. Kebanyakan perkakasan komputer tersebut hanya dihasilkan di sesetengah negara sahaja dan harganya agak tinggi. Hal ini menyebabkan kebanyakan individu palsi serebrum yang memerlukan perkakasan khas ini tidak dapat mengakses komputer dan internet. Individu-individu kurang upaya, ibubapa atau guru mereka juga tidak dapat mencuba perkakasan tersebut sebelum membeli untuk memilih perkakasan yang betul-betul sesuai dengan keperluan mereka. Mereka semua juga perlu mempelajari cara-cara menggunakan perkakasan tersebut dengan sendiri berdasarkan buku panduan yang diberi saja. Sekiranya terdapat sebarang masalah pada perkakasan tersebut, mereka juga tidak dapat atau sangat sukar untuk mendapatkan perkhidmatan bagi membaikinya.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Zaman Awal Kanak-Kanak pada 25 September 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...